SUSULAN isu pendebatan mengenai kabul yang dilafazkan oleh pengarah dan pelakon terkenal, Sabri Yunus sehingga membangkitkan kekeliruan ramai, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil membuat penjelasan.
Jelas Dr Mohd Asri atau Dr Maza, lafaz ijab dan kabul tersebut sah dari segi undang-undang agama Islam biarpun ringkas selain sudah menepati rukun nikah.
“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi mereka akan mengetahui bahawa nabi akad nikah memang mudah, yang penting cukup rukun dan adanya ijab dan qabul.
“Ijab dan kabul maksudnya adanya kita memberikan satu tawaran perkahwinan manakala satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan. Tak adalah dalam agama ini, kena satu nafas, kena hafal balik perkataan orang yang akad itu.
“Bila dia kata ‘seperti mana yang disebutkan’, maka akan berlaku ijab dan kabul.
“Yang penting adanya ungkapan yang menyatakan bernikah, dengan siapa yang dinikahkan dan pihak yang satu lagi menerima serta adanya dua orang saksi,” katanya.
Dr Maza berkata demikian menerusi perkongsian video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Sementara itu, Dr Maza turut menitipkan pesanan serta nasihat kepada segelintir jurunikah agar memudahkan bakal pengantin yang bakal mendirikan ‘masjid’.
Kata Dr Maza, tidak perlu menyulitkan proses pernikahan dan dia berharap ijab dan kabul pasangan Sabri dan isterinya, aktres Angeline Tan dapat dijadikan contoh.
“Kadang-kadang saya lihat macam ‘raging’, macam nak denda pula pasangan berkahwin. Kita jangan jadikan benda ini terlalu rumit…benda yang halal. Ini semua perkara-perkara yang tidak benar yang akhirnya menyusahkan.
“Orang sekeliling boleh pula kata ‘tak sah, ulang-ulang’. Ini bukan satu permainan. Lafaz itu telah sah mengapa perlu di ulang?
“Sebab itu, mudah-mudahan ini menjadi contoh dan kita mengingatkan jurunikah jangan payah-payahkan hal yang seperti ini.
“Yang penting mudah dan disunahkan sebelum itu adakan khutbah nikah,” ungkapnya.
Terdahulu, pasangan tersebut selamat dinikahkan dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Perlis pada 14 Oktober yang lalu.
Sekadar info, Sabri dan Angeline mula berkenalan semasa menjayakan sitkom tersebut pada 1992.
Untuk rekod, Sabri pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd Yusof dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Walau bagaimanapun, Norraya meninggal dunia pada Ogos 2007 akibat kanser.
Sementara itu, Angeline yang pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini pula mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu.

