PELAKON, Sabri Yunus, tampil memberikan pandangan berhubung kontroversi pementasan teater sebuah kolej di Universiti Malaya (UM) yang didakwa memaparkan aksi tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai Islam baru-baru ini.
Sabri atau Mohd Sabri Yunus,65, menegaskan bahawa kelompok mahasiswa seharusnya dibimbing melalui pendekatan ilmu dan akademik, memandangkan mereka masih dalam proses pembelajaran untuk memahami selok-belok dunia seni yang sebenar.
Mengulas lanjut mengenai insiden yang tular di media sosial itu, Sabri berpendapat tindakan menghukum secara keras tanpa memberi ruang untuk pendidikan semula hanya akan membunuh kreativiti anak muda.
Baginya, universiti adalah medan untuk membentuk pemikiran, maka teguran juga harus bersifat membina.
“Mereka berada di universiti untuk menimba ilmu, maka sebarang kesilapan atau tindakan haruslah diperbetulkan dan dididik dengan pendekatan ilmu juga.
“Kita tidak boleh sekadar menghukum tanpa memberi bimbingan kerana hukuman yang keterlaluan hanya akan melemahkan semangat mereka.
“Jika mereka disekat terlalu awal kerana rasa takut, ia akan membantutkan keberanian mereka untuk terus berkarya pada masa hadapan,” katanya kepada URTV ketika diteumui pada Malam Gala filem Libang Libu di Mid Valley, semalam.
Sabri turut menyentuh mengenai definisi “kebebasan seni” yang sering disalahertikan oleh generasi muda.
Walaupun seni sering dianggap sebagai medium tanpa sempadan, dia mengingatkan penggiat seni Muslim bahawa setiap karya tetap mempunyai garis merah yang tidak boleh dilangkaui, terutamanya yang melibatkan hukum-hakam agama.
Dia menarik perhatian dengan membuat perbandingan antara amalan seni di Barat dan di Malaysia.
Menurutnya, kesedaran kendiri terhadap batas kesopanan adalah tunjang utama dalam setiap pementasan.
“Seni dalam Islam tidak bersifat bebas mutlak tanpa arah.
“Walaupun kita melihat seni itu sebagai satu bentuk ekspresi, ia tetap perlu bersandarkan kepada hukum-hakam agama.
“Sebagai contoh, di Barat, melukis model bogel mungkin dianggap sebagai satu cabang seni murni tanpa melibatkan rangsangan nafsu.
“Namun, dalam konteks kita sebagai Muslim, perkara itu tetap dilarang kerana kita mempunyai batas aurat dan kesopanan yang perlu dipatuhi, tidak kira betapa ‘seni’ sekalipun alasan yang diberikan,” tegasnya.
Menyentuh mengenai tindakan individu yang menularkan babak kontroversi tersebut, Sabri melihatnya sebagai satu hikmah yang membolehkan masyarakat serta pihak pengurusan universiti peka terhadap kualiti kandungan yang dipersembahkan.
Walau bagaimanapun, dia tetap dengan pendiriannya bahawa pihak fakulti dan penganjur tidak seharusnya menjadi mangsa hukuman semata-mata, sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) pementasan akan datang.
“Saya berpendapat rakaman yang tular itu ada baiknya kerana ia memberi peluang kepada semua pihak untuk menyedari isu ini.
“Jika semua orang memilih untuk berdiam diri, kita tidak tahu apa lagi yang akan berlaku dalam persembahan seterusnya.
“Namun, saya berharap agar mahasiswa dan pihak fakulti tidak dihukum secara melulu.
“Apa yang penting sekarang ialah membina kesedaran agar peristiwa seumpama ini menjadi pengajaran besar bagi penganjuran yang akan datang,” katanya lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

