LEBIH 30 selebriti popular tanah air bakal berkumpul di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan dalam sebuah festival amal berskala besar, Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang akan berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 September ini.
Festival yang menggabungkan hiburan, kebudayaan dan kebajikan itu dianjurkan oleh Madoo Bee, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan HMS Maju Group, di bawah slogan Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate.
Antara selebriti yang bakal menggegarkan pentas KC Fest termasuklah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Bob Sentuhan, Halim Yazid dan ramai lagi.
Koordinator KC Fest iaitu Muhammad Nazrin Mohamad Isa berkata, 20 penyanyi dikir barat terkenal Kelantan juga akan membuat persembahan, menjadikan festival ini gabungan hebat antara artis arus perdana dan budaya tempatan.
“Saya berbesar hati kerana ramai selebriti sudi menyokong festival ini.
“Sebagai artis, mereka boleh guna bakat dan pengaruh untuk galakkan masyarakat turut serta dalam kerja amal,” katanya.
KC Fest menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang empat hari berlangsung.
Selain konsert dan persembahan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan:
? Kelate Charity Walk – bakal disertai Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang berkenan turun padang berjalan bersama rakyat.
???? Aktiviti Keluarga – seperti persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur, dan push bike untuk kanak-kanak.
? Malam Kerohanian – bakal menyaksikan 1111 peserta menyertai Selawat Perdana, serta perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan Angeline Tan.
? Malam Kebudayaan – bakal mencipta sejarah dengan 1,111 pendikir beraksi serentak di pentas utama, disusuli pertunjukan bunga api.
Menurut Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin, dana festival ini akan disalurkan kepada 500 orang asnaf melalui sumbangan daripada penaja seperti Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
“Matlamat utama festival ini ialah untuk gerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat.
“Senara penama 500 asnaf itu kita dapatkan rujukan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
“Rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara,” ujarnya.
KC Fest turut menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 untuk Tabung KC Fest 2026, melalui sewaan tapak jualan dan penjualan barangan rasmi.
Kamal Azmi turut menjelaskan pemilihan Kelantan sebagai lokasi penganjuran adalah disebabkan kekayaan budaya dan kekuatan komuniti rakyat di negeri itu.
“Kelantan unik dari sudut warisan seni, makanan tradisi dan semangat kebersamaan.
“KC Fest akan jadi platform permulaan sebelum dibawa ke peringkat nasional.
“Kami mahu jadikan Kelantan sebagai contoh negeri yang berjaya gabungkan hiburan, budaya dan kebajikan dalam satu festival,” ulasnya.
KC Fest bukan sekadar festival hiburan, tetapi satu gerakan sosial yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui elemen seni, amal dan budaya.
“Harapan kami, KC Fest dapat diangkat sebagai acara tahunan rasmi negeri Kelantan demi rakyat, budaya dan kebajikan,” ujar Kamal Azmi menutup bicara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

