MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) terpanggil untuk memberi ulasan terhadap pengumuman kerajaan Terengganu seperti yang dilapor oleh Bernama pada 10 Oktober bahawa kerajaan Terengganu mencadangkan Kampung Cina di Terengganu dijenamakan semula sebagai China Town untuk menarik banyak pelancong?.
Satu cadangan yang nampak lucu dan kurang cerdik. Ini adalah satu keputusan yang amat tidak bijak dari segi penjenamaan kata, istilah mahupun jenama barangan atau tempat.
Sepatutnya kita berbangga dengan istilah atau nama sedia ada dalam bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara ini dan bukan mengubah kepada nama berbahasa Inggeris.
Sepatutnya juga kerajaan negeri dan tempatan segera menukar nama-nama tempat yang masih berbau asing kepada nama tempatan seperti George Town, Butterworth, Port Dickson, Danga Bay dan lain-lain.
Pelancong datang untuk melihat bandar kita dengan budaya yang unik berbeza daripada tempat mereka, menarik, istimewa dan bersih. Malang sekali jika mereka melihat wajah bandar dan desa kita seperti wajah di Eropah, Hongkong atau serupa dengan bandar dan desa mereka termasuklah nama yang berbau Inggeris.
Kuala Lumpur sejak dahulu tetap dikunjungi jutaan pelancong walaupun namanya “berlumpur” dengan kotanya yang bersih tanpa perlu ditukar menjadi “Muddy Rivermouth” atau “East Edinburgh”.
Baca artikel lain: Kerajaan belanja lebih RM600 juta untuk elaun sara hidup nelayan
Jelas sekali pemimpin kita tidak langsung berjiwa besar, megah dengan bahasa negara sendiri seperti bangsa lain di dunia. Satu demi satu pemimpin kita keliru dengan jati diri berwajah Malaysia.
Jepun misalnya tetap bangga dan terus “menjual” bahasanya ke seluruh dunia dengan jenama seperti sushi, sashimi, tempura, takoyaki, Honda, Toyota, Suzuki dan lain-lain tanpa perlu ditukar jenama menjadi “raw fish” atau ikan mentah , “powdered prawn” atau udang tepung dan lain-lain. Makanan dan jenama kereta tersebut tetap laris walaupun di luar negara.
Nampaknya kecil sungguh jiwa dan tubuh pemimpin kita sehingga membuat andaian yang tidak benar bahawa banyak pelancong akan datang ziarah ke sini setelah ditukar kepada China Town berbanding Kampung Cina.
Moga Dewan Bahasa dan Pustaka dapat menegur tentang hal ini juga terhadap mana-mana kerajaan negeri dan kerajaan tempatan yang masih belum merdeka jiwa dan minda walaupun menjelang satu abad merdeka. Malah Petaling Street di Kuala Lumpur eloklah dipopularkan sebagai Jalan Petaling.
Ataukah Chukai di Terengganu juga wajib dijenama sebagai Tax City dan supaya nasi dagang lebih terkenal dan difahami oleh pelancong dari Eropah dan seantero dunia, dijenama sebagai “Trade Rice”?
Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

