KERAJAAN Terengganu mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri itu sempena Aidilfitri.
​Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bagi meringankan beban kakitangan awam dalam membuat persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi.
“Bantuan khas ini sudah disalurkan hari ini (Khamis) dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua penjawat awam negeri dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu, hari ini.
​Hadir sama, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
​Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri menggunakan dana awam tahun ini.
​Jelas beliau, pihaknya menyambut baik saranan tersebut dan mengesahkan perkara yang sama akan dilaksanakan di peringkat negeri.
​

