BAGAI memiliki kuasa magis, kumpulan vokal hip-hop dan R&B popular, Ruffedge terus tersemat di hati peminat sepanjang usia 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni.
Menyemarakkan industri seni tempatan, Ruffedge tampil dengan bukan saja satu malah dua buah tangan baharu iaitu Belenggu dan Putus.
Semangat kumpulan itu kembali membara sejak kejayaan mereka mengadakan Konsert Ruffera That Moment In Time yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Singapura beberapa bulan lalu.
Mereka sangat teruja dengan buah tangan terbaharu sekaligus mempunyai makna yang tersendiri. Lebih istimewa, dua karya itu dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya muzik mereka.
Kumpulan Ruffedge yang terdiri daripada Zain Hamid, Sein, Azan, Mode, dan Cat Farish meluahkan keterujaan dengan buah tangan terbaharu mereka.

Lagu Belenggu dan Putus menampilkan Suffren Ghafar selaku penerbit buat peminat kumpulan yang diasaskan pada tahun 1998 itu.
Manakala lagu Putus pula melibatkan kolaborasi bersama Lah Ahmad sebagai penampilan istimewa dalam single itu.
Sudah tentu nama Lah Ahmad tidak asing lagi untuk tampil bersama Ruffedge. Gabungan dinamik ini pastinya akan memberikan kesan yang mendalam buat pendengar dan peminat setia mereka.
Tentang lagu Belenggu
Peka dengan isu semasa dan sosial yang melanda masyarakat sejak kebelakangan ini, Ruffedge percaya ramai individu cenderung untuk menyimpan perasaan mereka sendiri.
Ini sekaligus boleh memberikan kesan negatif kepada individu berkenaan. Oleh itu, Ruffedfe mengambil inisiatif untuk mencipta lagu Belenggu sebagai satu wadah untuk mengungkapkan perasaan yang dialami oleh individu yang berdepan situasi tersebut.
“Dengan pelancaran lagu Belenggu, kami ingin berkongsi mengenai perasaan dan pengalaman emosi yang mungkin dialami oleh segelintir pihak. Lagu ini juga bertujuan memberi ruang dan inspirasi yang positif kepada yang mengalami hal yang sama,” kata Cat Farish.
Belenggu benar-benar istimewa kerana liriknya mempunyai maksud mendalam dan dihasilkan oleh anggota kumpulan Ruffedge sendiri iaitu Sein, Azan, Mode, dan Cat Farish.
Belenggu menyuntik nafas baharu kerana menonjolkan elemen unik yang belum pernah didengar sebelum ini.
Bagaimanapun, lagu ini tetap memelihara keaslian Ruffedge untuk kekal relevan dalam trend muzik era terkini.
Tentang lagu Putus
Putus, seperti tajuknya menggambarkan tentang perasaan yang berakhir dan pastinya membawa emosi yang sangat berat dalam lagu ini.
Menurut Ruffedge, Putus mengisahkan tentang perasaan kecewa disebabkan perpisahan yang berlaku sekaligus menghancurkan harapan dan impian yang dibina dalam sekelip mata.
Lagu Putus menjadi lebih istimewa apabila menampilkan kolaborasi bersama Lah Ahmad, selain turut mendapat sentuhan daripada anggota Ruffedge sendiri.

Selain itu, Putus yang diterbitkan oleh Ruffedge dan Suffren Ghafar telah mendapat sentuhan lirik daripada Sein, Azan, Mode, Lah Ahmad dan Cat Farish.
Putus yang mengetengahkan genre R&B diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik Ruffedge sebagai salah sebuah kumpulan berpengaruh di malaysia.
Pada masa sama, dengan lahirnya single Belenggu dan Putus (bersama Lah Ahmad), Ruffedge berharap buah tangan baharu mereka dapat diterima baik pendengar sewaktu awal kemunculan mereka suatu ketika dahulu.
Bagi anggota Ruffedge sendiri, mereka percaya bahawa muzik yang mereka ketengahkan memiliki daya penarik tersendiri untuk memikat selera pendengar muda hari ini.
Tidak dinafikan lagi zaman kini mempunyai beberapa cabaran seperti kemajuan dunia teknologi yang semakin canggih dan bergerak dengan pantas memberi kerisauan kepada kumpulan Ruffedge. Namun ini bukan salah satu alasan untuk berhenti dan berputus asa.

“Semoga lagu Belenggu dan Putus (penampilan Lah Ahmad) dapat diterima oleh pelbagai lapisan pendengar bagi menjadikan lagu kami sebagai sumber inspirasi yang positif pada masa akan datang.
“Insha-Allah kami akan terus berinovasi dalam menghasilkan karya-karya yang baik dan berkualiti untuk peminat setia yang telah lama menantikan karya terbaharu daripada kami,” ujar Azan.
Lagu Belenggu dan Putus (penampilan Lah Ahmad) boleh dimuat turun dalam aplikasi digital iTunes dan boleh didengari di semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

