SETELAH lama ditunggu-tunggu, rancangan pencarian bakat hip-hop yang paling diraikan di Asia, 16 Baris kembali dengan lebih hebat di musim yang ketiga.

Memperkenalkan bakat-bakat terbaharu dalam dunia hip-hop, rancangan ini menjanjikan lebih banyak aksi luar biasa berbanding musim-musim yang lalu.

Masih mengekalkan format yang sama seperti sebelumnya, ia menampilkan sutradara hip-hop tersohor, Shahrin Bahar yang pernah menghasilkan video muzik hebat seperti Ciao, Veto dan terbaharu lagu tular, Swipe.

Menurut pencetus idea rancangan tersebut, tokoh hip-hop Joe Flizzow, musim ini menampilkan lebih banyak rentak dan muzik hip-hop hasil sumbangan para penerbit yang turut serta bersaing.

“Dengan begitu banyak bakat baharu, setiap peserta mempunyai potensi untuk menjadi bintang hip-hop seterusnya.

“Pastikan anda mengikuti perkembangan bakat-bakat serantau dari negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina, Singapura, dan Indonesia.

“Kami sangat gembira dengan penyertaan yang merentasi rantau,” kata Joe tentang rancangan tersebut.

Menampilkan ramai bakat serantau dan antarabangsa, generasi baru penyanyi rap ini membuktikan kebolehan mereka dengan menyampaikan lirik hip-hop dalam aneka bahasa serta dialek.

“Itulah naratif sebenar 16 Baris, ia lebih besar daripada hip-hop sendiri. Ia sebenarnya bertujuan menyatukan dan menghidupkan lagi komuniti ini, serta pada waktu yang sama memperkenalkan bakat-bakat baharu yang ada,” jelas Joe.

Joe turut menegaskan bahawa rancangan ini memberi peluang kepada semua tanpa mengira jantina, bangsa dan warna kulit kerana setiap orang berhak dihormati secara saksama.

“Sebagai contoh, sejarah muzik telah membuktikan bahawa wanita merupakan antara penyanyi rap paling hebat dalam industri seperti ikon-ikon agung bak Lauryn Hill, Missy Elliot, dan ramai lagi,” tambah Joe.

Joe juga berharap 16 Baris akan terus memberi inspirasi kepada semua yang menyimpan harapan untuk terus berusaha dan memperhebat bakat mereka.

“Kami menerima banyak penyertaan daripada ramai orang. Maaf kami tidak dapat menyelitkan semuanya tapi saya harap anda terus berusaha kerana musim keempat bakal muncul tak lama lagi.

“Kami gembira dapat kembali setelah berehat seketika gara-gara pandemik dan sebagainya,” kata Joe menutup bicara dengan nada gembira.

Syarikat telco Tune Talk turut teruja untuk bekerjasama sekali lagi musim baharu ini. Dibanjiri oleh 5,000 peminat di Konsert 16 Baris 2018, acara ini telah menempa nama sebagai konsert hip-hop terbesar di Malaysia.

“Kami sentiasa berusaha untuk memperkasakan golongan belia dan menyokong persada muzik tempatan.

“16 Baris adalah platform terbaik dalam mengetengahkan bakat baharu yang dipilih sendiri oleh para ‘OG hip-hop’ bagi mempamerkan bakat dan potensi mereka.” kata Joseph Lim, Ketua Pegawai Pemasaran Tune Talk.

Musim ketiga 16 Baris kini sudah boleh ditonton di saluran YouTube. Bersedia untuk mengagumi bakat-bakat baharu ini!