Deretan gerai masakan panas dan hidangan Thailand yang cukup menggoda selera, Festival Makanan Madani bukan sahaja memenuhi nafsu kaki makan, namun peniaga kecil turut mendapat tempias.
Menurut Pengarah Nasir Sri Bina Enterprise, Mohd Nasir Abdul Rahman dan Pengurus Nasir Sri Bina Enterprise, Hana Ibrahim, objektif utama penganjuran festival ini bagi membantu peniaga kecil mengukuhkan ekonomi keluarga.
“Objektif Festival Makanan Madani untuk membantu peniaga kecil meneruskan kelangsungan hidup dengan aktiviti jualan. Dan setakat ini kami peruntukkan 10 slot khemah untuk peniaga Madani dengan harga yang sangat berpatutan supaya mereka tidak terbeban dengan kos perniagaan.
“Malah kami turut meringankan beban peniaga dengan mengambil bayaran secara ansuran mengikut kemampuan mereka sehingga hari festival tamat,” ulas pasangan suami isteri ini.
Tidak terhenti setakat itu, siri festival ini akan terus menjelajah seluruh Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menambah pendapatan. Ulas Hana lagi, dia turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak kerajaan untuk turut sama berkolaborasi dalam siri jelajah Festival Makanan Madani.
“Jika tiada halangan, siri Festival Makanan Madani akan menjelajah seluruh parlimen Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang dan Setiawangsa.
“Kami berharap festival yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Malah kami amat berbesar hati andai ada daripada pihak kerajaan turut sama berganding bahu bagi membantu peniaga kecil,” tambahnya.
Membawakan hidangan autentik dari Thailand sebagai penyeri festival, kata Hana, dia memastikan harga yang ditawarkan peniaga mampu milik dan sah halal.
“Dan apa yang istimewa di sini ialah kepelbagaian hidangan dari Thailand dan kami memastikan harganya berbaloi. Terdapat pelbagai jenis hidangan istimewa antaranya durian, Tongmo Daging Bakar, Kerabu Megi, Tomyam dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, perasmian Festival Makanan Madani yang berlangsung mulai 27 Oktober hingga 5 November 2023 telah disempurnakan oleh Pengerusi MPP-WP Zon Bandar Tun Razak, Mohamad Mahathir Mohamed Younos.
Festival bertempat di Laman Hijau, Pusat Niaga Lakefields Sg Besi Kuala Lumpur.

