SELEPAS desas-desus mengenai masalah gaji pemain dan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kedengaran sekian lama dalam dunia bola sepak tempatan, akhirnya pemilik kelab itu, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar tampil mengakui mengenai perkara tersebut.
Dr Mohd Daud mengesahkan pasukannya memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu kerana beberapa penaja kelab itu menghadapi masalah penajaan tidak seperti yang dijanjikan
Bagaimanapun, beliau menafikan penaja utama kelab itu, Bin Zayed International tidak pernah menarik diri dari menjadi penaja KDA FC dan menyatakan berita penarikan itu sebelum ini hanyalah khabar angin.
“Tidak ada pihak yang menarik diri daripada komitmen yang telah mereka berikan, tetapi mereka juga ada masalah tertentu yang sedikit sebanyak mengganggu pelancaran penajaan,” katanya.
Jelas usahawan tempatan itu, tidak dinafikan beberapa penaja sampingan berdepan masalah kewangan, namun tiada antara mereka yang memilih untuk menarik diri.
Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di platform Facebook KDA FC hari ini, beliau tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah terutamanya peminat bola sepak negeri itu serta memohon maaf kepada barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu.
Jelas Daud, beliau berjanji ‘tidak akan lari’ daripada tanggungjawab dan akan memikul untuk melangsaikan serta menyelesaikan tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu.
“Saya memohon maaf kepada jurulatih pasukan Liga Super, Nafuzi Zain barisan kejurulatihan, pegawai, staf dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat lagi masalah aliran tunai yang sedang dihadapi KDA FC.
BERITA BERKAITAN KDA FC umum Lee Tuck tinggalkan Sang Kenari, tidak nyata berpindah ke mana
“Perkara ini menyebabkan masalah tunggakan gaji dan mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.
“Saya juga minta maaf kepada penyokong atas segala kelemahan KDA FC. Sebagai pemilik saya ambil tanggungjawab sepenuhnya masalah kewangan. Saya masih sayang KDA FC dan akan selamatkan KDA FC.
“Saya tetap kerja keras untuk pulihkan saluran oksigen (dana bekalan yang mencukupi),” katanya pada sidang media itu.
Ujarnya lagi, beliau sanggup berkorban termasuk menjual saham syarikat miliknya bagi memastikan KDA FC terus ‘bernyawa’.
“Bagi saya KDA FC memang dekat di hati saya sebab ini tanggungjawab sosial, undang-undang di mana kita jadi pemilik dan pengurus kita kena tanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan liabiliti kewangan kita.
“Syarikat saham kita jual, dan boleh beli balik saham tersebut, tapi KDA FC ini tidak boleh. Ia satu peluang yang kita perlu pertahankan supaya KDA FC terus releven dalam konteks bola sepak.
“Jadi saya tidak teragak-agak (pertahankan). Saya sudah banyak apungkan saham-saham KDA FC dan syarikat saya di Dubai dan antarabangsa untuk dapatkan sedikit kecairan untuk menyelamatkan KDA FC,” katanya.
Berdasarkan perkongsian, KDA FC mengalami isu tunggakan gaji sejak Ogos dengan separuh bayaran daripada bulan itu sudah dilangsaikan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

