WALAUPUN telah menunjukkan permainan terbaik, Kedah Darul Aman (KDA) FC gagal mencapai hasratnya untuk merebut peluang menduduki tempat kedua liga Liga Super apabila tewas 0-1 kepada Selangor FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Darul Aman malam ini.
Dalam aksi Liga Super yang dikatakan antara permainan paling hangat musim ini, pasukan bimbingan Nafuzi Zain terpaksa menerima hakikat nasib tidak menyebelahi mereka walaupun terdapat banyak peluang menjaringkan gol yang disia-siakan.
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai perlawanan dan beberapa serangan mula diatur dengan Kedah lebih banyak melakukan penguasaan di awal permainan dan Selangor menjawabnya dengan serangan balas.
Peluang keemasan hadir buat Kedah pada minit ke-8 apabila Ifedayo menerima hantaran dari J. Partiban namun rembatannya berjaya ditepis Samuel Somerville dan rembatan susulan dari Manuel Ott turut diselamatkan penjaga gol tersebut.
Selangor hampir mendapatkan gol pendahuluan mereka pada minit ke-16 namun percubaan jarak dekat Yohandry Orozco berjaya diselamatkan Kalamullah di gawang Kedah.
Beberapa serangan telah dilancarkan oleh pasukan Kedah dan Selangor namun ketangkasan penjaga gol berjaya menyekat hasrat jaringan sulung daripada terhasil sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Selangor membuat satu pertukaran dengan membawa masuk Brendan Gan bagi menggantikan Mukhairi Ajmal manakala Kedah kekal dengan barisan pemain yang sama.
Kemasukan Brendan dikatakan menukar corak permainan Selangor yang mana corak serangan kelihatan lebih tersusun dengan beberapa percubaan berbahaya dilancarkan.
Hasil serangan bertali arus dari barisan serangan Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-64 apabila Ayron Del Valle berjaya meledak selepas menyambar hantaran silang dari Brendan
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah kembali mengatur serangan dan hampir menyamakan kedudukan melalui Manuel Hidalgo pada minit ke-79 namun percubaannya berjaya diselamatkan Samuel Somerville.
Biarpun Kedah melancarkan serangan bertali arus namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. Dengan keputusan ini, Kedah semakin ketinggalan di tempat ketiga dengan 53 mata, manakala Selangor disahkan naib juara Liga Super musim ini mengumpul dengan 58 mata.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

