DCCK – Kena tipu gara-gara nak kahwin lagi, duit simpanan kena ‘kebas’ dengan jantan tak guna

Dari Penulis

“Kita tidak boleh nafikan selagi bergelar manusia, kita secara lumrahnya  mempunyai pelbagai selera dan keinginan yang berbeza. Terus terang saya beritahu keinginan saya lain sikit, saya mahu kahwin. Walaupun emak dan adik beradik membantah. Kata mereka, saya akan menyesal akhirnya nanti.

“Tapi saya tak peduli sebab saya yakin dengan lelaki pilihan saya bernama Isa. Dia penyabar, baik hati, bertimbang rasa dan memahami hati naluri saya yang selama ini dihampakan oleh bekas suami.

“Saya nafikan pandangan emak yang mendakwa Isa cuma mahukan saya, bukan anak saya tiga orang ini. Kata emak, kalau dia lelaki baik dan bertanggungjawab, tentu dia beri perhatian kepada anak-anaknya sendiri, bukannya nak kahwin lagi. Apa lagi nak tanggung anak tiri.

“Saya jawab anak-anak saya bukan tanggungjawab Isa, tetapi bekas suami saya. Dia lelaki tak berguna. Dan saya yakin Isa tidak seperti itu bila kami kahwin nanti.’ Itu cerita Shahni tentang pengalaman pahitnya dan dia mahu berkongsi pengalamannya dengan semua ibu tunggal supaya tidak jadi seperti dia. 

“Kata emak bermadu bukan mudah dan perlukan banyak duit nak sara dua keluarga. Satu keluarga belum tentu dia mampu, ini pula dua keluarga. Takkan lepas kahwin kau kena tanggung diri sendiri?  Apa guna bersuami?

“Mak ingatkan apakah saya sudah bersedia tanggung diri sendiri, selain terpaksa membantu suami jika dia `sesak’. Sebelum kahwin memang dia tak minta duit , tetapi bila dah berkahwin, waktu itu baru kau tau dia akan bergantung dengan kau nanti. 

“Macam-macam soalan emak yang menolak hasrat saya nak kahwin dengan Isa. Sedangkan dulu, setelah bercerai empat tahun lamanya saya dalam kesedihan, bersendirian dan merasa amat kecewa sehinggalah Isa datang dalam hidup. Dia menceriakan hati dan jiwa ini hingga saya ingin kembali hidup gembira seperti dulu. 

“Tetapi adik beradik dan emak bantah, ini cukup kecewakan saya. Kata mereka tidak ada wanita yang gembira hidup bermadu. Dan kata mereka, Isa sudah pasti tidak akan ceraikan isterinya.

“Walau apapun alasan emak, saya tetap ikut cakap Isa. Kalau terpaksa, kami akan nikah kat Siam. Lebih penting, saya sanggup bermadu dan saya menempuh apa juga halangan yang datang.

“Mak tanya apakah saya tak sayang dan tak kesiankan anak-anak saya? Mereka tentu kecewa sebab mereka perlukan emak untuk membimbing dan menasihati mereka. Mereka akan kecewa bila saya kahwin lagi sebab akan ada penghalang antara mereka dalam mendapatkan kasih sayang.

“Tetapi tahukah emak selama ini saya amat kecewa hingga menjeruk hati akibat diceraikan? Tapi saya berjanji tidak akan kecewakan anak-anak. Saya tetap sayangkan mereka. Isa juga sayangkan mereka. 

“Kata adik beradik pula, kasih ayah tiri tak sama dengan ibunya sendiri. Mereka bimbang anak-anak akan kecewa dengan keputusan saya.

“Tetapi keadaan saya waktu itu, siapa pun nasihat saya tolak ketepi kerana cinta saya kepada Isa melebihi segalanya. Pujukan Isa membuat saya merasa hidup ini dihargai, tidak terbuang seperti apa yang bekas suami buat. Dia ceraikan saya melalui telefon kerana cintakan wanita lain, macam saya tak berguna langsung pada dia.

“Empat tahun lamanya hidup saya menderita, tidak bermaya. Hanya badan hidup tetapi jiwa saya  mati. Janji setia dan kasih sayang yang dicurahkan ketika kami bercinta dahulu, dibuang sebaik sahaja dia bertemu orang baru. Ketika itu pujuk rayu dan pengorbanan saya selama ini membantu dia langsung tidak dihargai. Saya ditinggalkan tanpa nafkah anak-anak, apa lagi nafkah edah.

“Janji dalam mahkamah syariah semuanya bohong. Lepas bercerai dia berhenti kerja ikut isteri barunya berhijrah ke Sabah, langsung hilang. Lebih malang ibunya sendiri tidak tahu ke mana anaknya hilang. Bohong atau tidak, tidak dapat saya pastikan.

“Kerana terlalu cintakan dia, saya pujuk hati dan anak-anak tunggu ayahnya pasti kembali, bak kata pepatah Melayu; ‘tinggi-tinggi terbang bangau, satu hari nanti ia akan balik hinggap atas belakang kerbau jua’.  Kami anak beranak menanti penuh setia. Malangnya hampa. Ketika itulah kawan-kawan nasihatkan  segera cari pengganti supaya hati yang sunyi terhibur kembali.

“Masuk tahun kelima sebagai ibu tunggal, akhirnya usikan kawan-kawan mula menyentuh jiwa saya untuk cari pengganti. Kata kawan, `patah akan tumbuh kembali, yang hilang lekaslah cari pengganti.’ 

“Ketika usia anak-anak meningkat remaja dan usia saya pun mencapai hampir 40-an, satu perasaan baru datang menjelma dalam jiwa. Mengapa saya mesti bodohkan diri. Yang hilang mesti diganti.

“Ketika itulah saya mula menyiapkan diri, menghias mana yang patut. Ajakan kawan manjakan diri ke spa sudah mula saya turuti. Perasaan ingin tahu, ingin mencuba dan ingin melihat hasilnya. Ketika tubuh dibelai, diurut rasa ingin mencari pasangan mula menyentuh jiwa.

“Lebih seronok bila ada kawan memuji kelainan wajah dan diri. Penampilan mula berubah sedikit demi sedikit hingga keluarga di kampung pun mula mengkritik. Emak yang cepat terasa mula mengingatkan saya tentang tanggungjawab mengurus anak-anak.

“Kata emak, anak-anak amanah wajib saya uruskan. Walaupun hakikatnya amanah itu jadi kewajipan seorang ayah. Kata emak, biarlah dia jawab di akhirat. Kalau tiada balasan di dunia, di akhirat sudah pasti, itu janji Allah.

“Mungkin benar kata emak, saya tidak pernah risau tentang perbelanjaan menyara anak-anak, mungkin kerana pendapatan saya semakin meningkat sejak bercerai dan kerana saya bekerja keras menyara anak-anak. 

“Kata emak itu rezeki anak-anak dari Allah kerana saya ikhlas menyara dan besarkan anak-anak sendiri selain bantu emak. Kesenangan dan kemewahan yang kita dapat di dunia cuma sedikit, lebih banyak akan diterima di akhirat kelak. Menyara mereka umpama menanam saham untuk akhirat.

“Biarpun saya percaya nasihat emak ada benarnya, tetapi mengapa emak bantah bila saya nak kahwin dengan Isa. Berkahwin dengan Isa bukan bermakna saya pinggirkan dan tak sara anak-anak, saya tetap jaga mereka. 

“Ini membuat saya rasa amat kecewa. Sejak itu minat nak balik kampung semakin berkurangan, saya lebihkan masa untuk berjalan dan keluar makan dengan Isa. Dan anak-anak saya tinggalkan sebab mereka perlu belajar.

“Tetapi dalam diam, anak-anak mengadu pada emak kerana saya selalu tinggalkan mereka di rumah. Ini membuat emak sesekali menjenguk ke rumah memerhatikan aktiviti saya.

“Sementara itu Isa mendesak saya nasihatkan dan berterus terang dengan anak-anak bahawa ibunya juga perlu hidup dengan lebih bermakna. Bila sudah bekerja, masuk kolej atau universiti, mereka tentu ada kehidupan sendiri, jadi jangan hancurkan kebahagian dan masa depan ibu mereka. Betul saya setuju. 

“Setahun lebih kami berkawan, tetapi hasrat berkahwin belum kesampaian. Satu hari emak minta bantuan hendak buat bilik tambahan, senang untuk anak-anak saya bila balik kampung. Ketika itu saya tersedar simpanan sudah susut.

“Cari punya cari, fikir punya fikir, baru teringat saya baru keluarkan duit RM6000 kerana Isa pinjam. Katanya buat tambah duit muka dia beli kereta baru. Saya baru sedar sudah beberapa kali saya keluarkan duit untuk Isa ketika dia  mengeluh keretanya sering rosak.

“Saya tak tahu apa cara untuk saya tolak permintaan emak. Sebab baki duit yang ada untuk belanja pernikahan kami nanti, selain nak beli rumah sendiri. Saya pening. Perlukah saya nasihatkan emak jangan buat bilik sebab anak-anak bukan selalu balik kampung? Tapi mulut saya berat tolak permintaan emak. Sebab emak tak pernah minta duit saya sebelum ini. 

“Dalam pada itu Isa nak pinjam lagi. Tetapi saya tolak demi emak. Akibatnya dua minggu Isa tak jawab panggilan saya. Dia marah. Maka hasrat segera kahwin pun terbantut.

“Nak dijadikan cerita kerana saya selalu sangat telefon Isa, satu hari isteri Isa yang jawab. Perkataan paling menyakitkan hati bila isteri Isa kata ‘Oii pompuan, kau jangan mimpi nak kahwin dengan Isa. Aku takkan lepaskan dia selagi dia tak selesaikan hutang dia dengan aku. Dia buat bisnes guna nama aku. Aku dah ikat dia, kalau aku kena cerai, bisnes dia aku bawa ke atas. Biar kes dia terbongkar.’ 

“Terkedu saya. Dia bekerja buat bisnes juga? Mampus! Habislah duit yang saya pinjamkan selama ini. Macam mana nak ganti? Benarkah cerita ini?

’’Patutlah Isa tangguhkan cadangan kami nikah di Siam. Pertama, dia tahu isterinya takkan izinkan dia kahwin lagi. Kedua dia terikat dengan bisnes. Kerana terasa tertipu, saya tak jawab panggilan Isa. Saya tahu dia akan berbohong menegakkan benang basah. Kawan-kawan nasihatkan besarkan anak-anak lebih baik daripada bantu orang dan ditipu.

“Saya mula terfikir dan mengaku saya sudah ditipu. Dan saya yakin berayah tiri bukan semuanya ikhlas dan baik. Daripada ditipu lebih banyak lagi, lebih baik saya putuskan hubungan dengan Isa. Benar kata emak, daripada Isa berbaik dan besarkan anak tiri, lebih baik dia besarkan anak-anaknya sendiri. 

“Akhirnya saya sedar kebodohan saya selama ini.  Benar kata kak Jay bukan mudah mencari cinta sejati, terutama kepada ibu tunggal. Tersilap langkah pasti kena tipu.” Itu cerita Shahni menceritakan masalahnya tertipu kerana teringin hendak kahwin lagi.  


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kesedaran Medikolegal, Kunci Utama Lindungi Pengamal Perubatan dan Pesakit

SENARIO perubatan di Malaysia kini menyaksikan anjakan paradigma apabila para doktor dan petugas kesihatan berdepan dengan risiko undang-undang yang...

More Articles Like This