DCCK : Mantapkan mahkamah syariah, kukuhkan keluarga Islam

Dari Penulis

Pelbagai masalah, persoalan dan kekeliruan timbul berbangkit hasil dari Program ‘Wanita & Keganasan Rumahtangga. Ketahui Hak Anda’ anjuran Kelab Sokongan Ibu Tunggal dan Telenisa yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) merasa amat bertuah kerana program kali ini penceramah yang diundang Dato Ismail Yahya, mantan Mufti dan Ketua Hakim Syarie telah hadir memberikan ceramah serta menjawab persoalan yang dikemukakan.

“Pada pandangan saya, pada hari ini kita ada 14 set undang-undang keluarga Islam (UUKI) bagi ditadbirkan di dalam 13 buah negeri dan satu Wilayah iaitu Wilayah Persekutuan. 

“Selain dari itu, terdapat 14 set penghakiman yang berbeza dalam satu-satu Permohonan/ Tuntutan mengikut selera hakim yang membuat penghakiman dalam mahkamah syariah.

“Oleh itu, menurut peruntukan hukum peruntukan undang-undang yang digubal oleh Kerajaan perlu dipatuhi sepenuhnya selagi tidak bercanggah dengan Hukum Syarak,” ulasnya.

Kata beliau lagi, menurut Muhammad Salam Madkur, seorang Professor Undang-Undang Islam di kuliyyah undang-undang di Universiti Kaherah, Arab Mesir dalam kitabnya; القضاء في الإسلام, terbitan Daar Al-Nahdhoh Al-Arabiyyah, Kaherah, Mesir, 1384H./ 1964M., pada muka surat 121-122, menjelaskan; Yang bererti;

‘Pemerintah atas kuasa yang dimilikinya boleh memilih sesuatu peruntukan untuk dijadikan undang-undang untuk dikuatkuasakan ke atas masyarakat. Tujuan tindakan pemerintah sedemikian itu adalah bagi tujuan menyatukan ahli masyarakat atas satu pendapat demi menghindarkan perselisihan faham.

‘Dengan yang demikian wajib atas semua ahli masyarakat mentaati peruntukan undang-undang yang ditaqninkan (yang telah dijadikan undang-undang oleh pemerintah) sedemikian itu. 

‘Jika ada mana-mana pihak yang bertindak dengan menyalahi peruntukan undang-undang sedemikian itu, berdosalah dia, kerana sifat pemerintah sebagai pembuat undang-undang, memberikan hak kepada ahli masyarakat dan ahli masyarakat pula wajib mentaati atau melaksanakan undang-undang yang disediakan oleh pemerintah.

‘Apabila pemerintah mengarahkan sesuatu peruntukan undang-undang dikuatkuasakan maka wajiblah peruntukan undang-undang itu ditaati, selagi ianya tidak bertentangan dengan Hukum Syarak atau ianya tidak merupakan suatu maksiat yang nyata, kerana perbuatan mentaati peruntukan undang-undang sedemikian itu bererti melaksanakan juga perintah agama.’

Selain dari itu, Prof. Dr. Muhammad Mustafa Al-Zuhaili, terbitan dan percetakan Dar Al-Fikr, cetakan keenam, tahun 1439H.,/ 2018 M., juzuk pertama pada muka surat 493 menjelaskan satu kaedah fiqah (legal maxim); Yang bererti; ‘Dalam menguruskan negara pemerintah hendaklah menurut kemuslahatan (keperluan/kepentingan) rakyat.’

‘Dan kedudukan Kerajaan Persekutuan boleh membuat penyelarasan mengenai penentuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain, menurut sebagai mana peruntukan dalam Jadual Kesembilan, Senarai I – Senarai Persekutuan, Butiran 4(k), Perlembagaan Persekutuan. Ianya memperuntukkan; Ascertainment of Islamic law and other personal laws for purposes of federal law

‘Oleh itu dicadangkan perlu ada hanya satu set sahaja undang-undang diri bagi orang-orang Islam, sebagai mana diperuntukkan undang-undang hanya satu set sahaja kepada orang-orang bukan Islam. 

‘Berbagai set undang-undang kepada orang-orang Islam dalam negara ini telah tidak mendatangkan keadilan kepada orang-orang Islam sendiri. Orang-orang Islam di dalam negara ini telah dilayan secara tidak adil telah melebihi enam dekat oleh kerana set undang-undang bagi diri mereka wujud dalam berbagai versi.’

“Kesimpulannya dapat difahamkan secara tidak langsung beliau mencadangkan supaya kerajaan badan kehakiman mengadakan satu set undang undang Islam khususnya mengenai mahkamah Syariah dapat diwujudkan dalam berbagai versi,’’ kata beliau lagi. 

Ketika ditanya mengapakah mahkamah Syariah tidak ada atau tidak membuat kes kes rujukan kepada satu satu kes perbicaraan terdahulu seperti yang terdapat dalam mahkamah sivil, dengan tujuan supaya hakim boleh membuat rujukan atas satu satu kes tertentu yang sedang dihadapi,  

Beliau seterusnya berkata, mengenai case law, atas dasar kononnya kaedah “Ijtihad tidak boleh dihapuskan dengan ijtihad”, maka hakim-hakim mahkamah syariah tidak kerap merujukkan penghakimannya kepada case law.

“Keadaan sedemikian boleh melenyapkan usaha untuk memperkembangkan perundangan syariah khususnya dalam pentadbiran undang-undang keluarga Islam di negara ini,” demikian antara pandangan beliau.

Rata-rata peserta yang hadir melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan keputusan dan cara penghakiman yang dilalui. Menurut mereka, penghakiman bukan sahaja berat sebelah kerana banyak menyebelahi kaum lelaki, malah lebih menyakitkan apabila kes tuntutan nafkah sebagai contoh mengambil masa beberapa tahun tetapi masih belum dapat diselesaikan.    

Peserta yang hadir bukan sahaja dari negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi juga dari Melaka, Seremban, Pahang dan Perak. Setelah berbincang sebelum majlis bermula, mereka mendapati hukuman yang dijatuhkan ke atas juga berbeza, semata mata kerana dihakimi di negeri berbeza kerana mengikut undang undang di negeri tersebut.

Kata salah seorang peserta, bukankah kami semua orang Melayu beragama Islam dan duduk dalam Malaysia tetapi mendapat keputusan penghakiman yang berbeza dan paling menyakitkan hati selalu ditangguhkan jika suami tidak hadir ke mahkamah.

Ramai peserta melahirkan rasa tidak puas hati, keliru sehingga ada yang merasakan kaum wanita dizalimi ketika berhadapan dengan mahkamah Syariah, semuanya kerana ketidak tentuan penghakiman dijalankan antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Lebih mengecewakan apabila ibu tunggal merasakan tuntutan mereka tidak pernah mendapat layanan sewajarnya, sedangkan pihak lelaki selalu diberi perhatian. Contohnya jika di saman untuk hadir ke mahkamah, pihak lelaki memang tidak hadir walaupun sudah tiga kali dipanggil. Tetapi tidak ada sebarang tindakan ke atas mereka, malah mahkamah dengan senang menangguhkan persidangan ke beberapa bulan akan datang.   

Tetapi,  jika ibu tunggal terlewat hadir bukannya kerana mereka mahu tidak hadir, terlewat setengah jam tiba ke mahkamah, hakim telah membuat keputusan menjatuhkan hukuman. Ini bukan berlaku di negeri lain, malah dalam sebuah negeri sahaja sebagai contoh Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Kesimpulan dari rasa ketidakpuasan hati ibu tunggal yang hadir, maka KSIT (Kelab Sokongan Ibu Tunggal) telah mengemukakan beberapa soalan kepada penceramah undangan, antara soalan yang ditanya, bolehkah diadakan satu unit khas atau mahkamah khas atau seumpamanya di peringkat pusat untuk membicarakan kes-kes tertentu bersabit permasalahan nikah cerai, tuntutan nafkah, mutaah, hadanah dan sebagainya supaya perbicaraan dapat dilaksanakan lebih cepat, tidak tertangguh lebih lima atau enam tahun, yang mana hasil kes perbicaraan masih belum selesai.

Selain itu, makamah juga boleh memberikan sepenuh perhatian kepada kes-kes seumpama ini dan tidak tertangguh kerana gangguan kes kes lain. 

Sementara itu, seorang peserta bernama Puan Norida yang pernah berkhidmat di luar negara pula membangkitkan rasa kecewanya dengan keadaan di mahkamah syariah sekarang. Kata beliau, jika keadaan dan sistem pentadbiran mahkamah tidak diperbaiki, tidak mustahil ramai gadis yang berkerjaya pada masa akan datang tidak mahu berkahwin apalagi mahu mempunyai keluarga. 

“Mereka lebih suka hidup membujang dengan menikmati hasil kerjaya masing-masing tanpa lelaki bergelar suami. Kerana mereka melihat dan mendengar terlalu banyak kes dan masalah yang dihadapi oleh wanita setelah berkahwin yang kemudiannya menyusahkan kehidupan mereka.

“Kisah-kisah ngeri yang mereka lihat dan dengar seperti menjadi mangsa keganasan rumahtangga, sukarnya ibu tunggal hendak mendapatkan nafkah anak-anak setelah bercerai dan sikap bekas suami tidak mahu bertolak ansur dalam pembahagian hal harta sepencarian.

“Ini belum masuk lagi penipuan dibuat oleh suami yang membuat ramai isteri terbelit dengan hutang bank dan sebagainya yang dipaksakan oleh suami, telah menyebabkan keinginan untuk berkahwin terlupus terus dari naluri mereka.

“Dengan kata lain, ramai gadis lebih rela hidup bersendirian daripada berkahwin yang bakal menyusahkan hidup mereka nanti,”luahnya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Puan Erine pula melahirkan rasa sedihnya akan status kes ubah perintah hadhanah beliau. Kerana kurangnya maklumat yang beliau ada tentang hak wanita dalam Undang-Undang Keluarga Islam .

Kata Erine, semasa proses sulh, beliau telah ditawarkan hak melawat dan bermalam bersama anak-anak ketika musim cuti sekolah sahaja. Perjanjian dan persetujuan kedua pihak telah dibuat lebih tiga tahun lalu. Malangnya sehingga ke hari ini, bekas suami telah menafikan hak beliau untuk bertemu anak-anak sepertimana diperintahkan oleh mahkamah.

“Kes saya ini telah berjalan lebih tiga tahun, tetapi malangnya hingga kini saya masih tidak mendapat peluang berjumpa apa lagi bermalam dengan anak anak semasa cuti sekolah, kerana tidak dibenarkan oleh bekas suami. Kes ini berlanjutan hingga kini.

“Bukankah ini merupakan satu penderaan mental dan emosi kepada saya sebagai ibu dan juga kepada anak-anak? Anak-anak adalah aset negara. Jika emosi mereka terganggu sudah tentu masa depan mereka juga tercalar,” kata beliau lagi. 

KSIT berpandangan walau apa pun perkara yang berlaku berkaitan dengan hak anak-anak, mereka mesti diberi keutamaan dan kes seperti ini mesti ditangani dengan segera. Tetapi malangnya sehingga kini, si ibu masih menghadapi masalah untuk bertemu dengan anak-anaknya. Bukankah ini satu kezaliman kepada ibu yang melahirkkan anak-anak tersebut? 

Kita sedia maklum, yang bermasalah dan yang bercerai adalah antara suami dan isteri, tetapi janganlah panjangkan masalah ini hingga merosakkan emosi anak-anak tersebut.  


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Permintaan emas meningkat, KESS sasar 30 cawangan baharu tahun ini!

KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS), jenama yang gah dengan jolokan 'Soorga Emas Preloved', terus mengorak langkah agresif...

More Articles Like This