PLKN hingga usia 35? Ada dalam akta sejak 2003 rupanya

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEJAK dua tiga hari kebelakangan ini, cerita mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diperkenalkan semula heboh diperkatakan.

Bukan mengenai kos, tidak juga kisah silam peserta khidmat negara sebelum ini yang hangat diceritakan.

Namun, kali ini kecoh mengenai had umur yang bakal dipanggil menyertai PLKN 3.0 itu.

Semuanya bermula menerusi jawapan bertulis Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Dr Mohammed Taufiq ketika itu bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai hasrat untuk mewujudkan semula PLKN dan pelan menambah baik program itu jika dilaksanakan semula.

Dalam jawapan bertulis tersebut, Mohamad atau Tok Mat mengumumkan bahawa kerajaan memang berhasrat melaksanakan semula PLKN tetapi kali ini dalam dua fasa iaitu Fasa 1 melibatkan penglibatan di sekolah dan Fasa 2 pula penglibatan selepas sekolah iaitu setelah berakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiada apa yang ‘menggemparkan’ pun dalam jawapan itu tetapi satu ayat selepas itu yang membuatkan ramai netizen terutama di bawah usia 35 tahun mula ‘cuak’.

“Di bawah Akta PLKN ini, cuma yang berusia 16 tahun hingga 35 tahun sahaja yang akan terlibat.”

Disebabkan ayat itu yang kemudiannya dilaporkan media, ramai yang mula tidak senang duduk bahkan banyak lawak serta meme mengenai PLKN mula bertebaran di media sosial.

Sebenarnya, had usia antara 16 hingga 35 tahun itu sudah pun terkandung dalam Akta Latihan Khidmat Negara atau Akta 628 sejak mula digubal pada tahun 2003 lagi.

Baca artikel berkaitan: PLKN diaktif semula, pengoperasi lama tidak terlibat

Perkara tersebut dinyatakan dalam Bahagian II di bawah tajuk Proklamasi yang memang ada menyebut tentang usia 16 hingga 35 tahun itu.

“YANG di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa, melalui proklamasi, mengarahkan bahawa, melainkan jika Akta ini memperuntukkan selainnya, tiap-tiap orang yang – pada tarikh pengisytiharan itu telah mencapai umur sebagaimana yang dinyatakan dalam pengisytiharan, tidak kurang daripada enam belas tahun, tetapi belum mencapai umur sebagaimana yang dinyatakan dalam pengisytiharan, tidak lebih daripada tiga puluh lima tahun; merupakan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia.

“Hendaklah bertanggungan untuk menjalani latihan khidmat negara di bawah Akta ini,” menurut Akta 628 itu.

Akan tetapi, jika dibaca bersekali dengan tajuk Pengecualian di bawahnya menyatakan bahawa menteri boleh melalui pemberitahuan dalam Warta, mengecualikan mana-mana orang atau kategori orang daripada kuat kuasa akta tersebut.

Jadi, kalau dilihat pada perenggan itu, jelas menyatakan bahawa seseorang menteri iaitu Menteri Pertahanan boleh mengecualikan mana-mana orang atau kategori orang untuk menyertai PLKN.

Dalam hal ini, Tok Mat telah menyatakan bahawa PLKN Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.

Bagi Fasa 2 pula akan disertai pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan sebelum itu untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan menempuhi peperiksaan SPM.

Latihan itu pula akan dilaksanakan di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

Justeru, sekiranya diikutkan kepada perkembangan semasa menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat itu, sebenarnya golongan yang lahir selepas tahun 1987 sepatutnya boleh menghela nafas lega.

Bahkan, jika dilihat pada ‘tradisi’ penganjuran program khidmat negara sebelum ini pun kebanyakannya merupakan pelajar lepasan SPM kecuali ada yang membuat penangguhan.

Tidak pula kita dengar sebelum ini usia melebihi 18 tahun dipanggil menyertai PLKN walaupun telah ada dalam akta sejak 2003 lagi.

Bagaimanapun, setakat ini persoalan ini masih lagi berlegar memandangkan belum ada pengesahan rasmi daripada menteri atau Kementerian Pertahanan sejak isu ini mula panas.

Untuk geng lahir selepas 1987, bawa bertenang dahulu dan doa yang terbaik.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

BERITA baik buat orang ramai apabila Kerajaan MADANI bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter mulai...

More Articles Like This