SUSULAN kenyataan selebriti Neelofa yang meluahkan hasratnya untuk menghulurkan salam perdamaian dengan Fazura selepas akui sudah penat dengan konflik yang membabitkan mereka sejak 13 tahun, kini giliran aktres itu pula memberikan maklum balas.
Jelas Fazura, bukan niatnya untuk memulakan kontroversi tetapi dia perlu membersihkan namanya dan pada masa sama tidak mahu membuka aib sesiapa.
Ujar pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin,40, dia hanya menjawab soalan daripada pihak media mengenai dakwaan seorang peminat tegar Neelofa dalam media sosial berhubung isu berhibur di kelab malam di luar negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa sedia bersemuka dengan Fazura, dah tak larat terus jadi mangsa ‘batu api’ – “Saya sangat terbuka untuk meletakkan tanda noktah”, “Saya tak pernah mengakui diri saya terpaling muslimah”- Fazura sangkal tuduhan ‘clubbing’ di Indonesia
“Tiada niat membuka aib sesiapa, tetapi jika dibiarkan, perkara tidak betul yang tumbuh akan terus melata.
“Dalam saya sibuk menguruskan kehidupan sendiri, keluarga dan rancangan kerjaya, muncul lagi anasir yang tidak jemu menangguk pada air yang keruh.
“Dikongsikan ialah rakaman video sebenar ketika wawancara pada majlis pelancaran produk terbaharu, baru-baru ini untuk dinilaikan sendiri.
“Sejujurnya, saya hanya menjawab soalan diajukan wartawan. Jika tidak dijawab, ceritanya lain pula nanti.
“Respon saya kepada soalan berkenaan perkara ditularkan oleh peminat tegar individu lain, tetapi sekarang digambarkan seolah-olah saya pula memulakannya. Untuk apa?. Tiada sebab dan tiada keuntungan untuk saya memulakan sesuatu yang tidak produktif,” tulis Fazura memnerusi hantaran di Instagram.
Fazura turut memuat naik video berdurasi satu minit 57 saat ketika sesi temubual di majlis pelancaran produk terbaharunya yang dianjurkan hujung minggu lalu.
Dalam pada itu, Fazura turut kesal apabila semua isu hangat yang membabitkan dirinya turut mengheret suaminya, Fattah Amin dan anaknya, Nur Fatima Aisya menjadi mangsa keadaan.
“Banyak perkara lain perlu diberikan perhatian. Saya sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah SWT kepada saya dan keluarga selama ini.
“Namun, itu tidak menghalang saya, Fattah dan keluarga menjadi mangsa cacian dan fitnah peminat tegar ini.
“Ini bukan kali pertama, sudah bertahun-tahun lamanya, tapi saya dan suami terus fokus kepada kehidupan dan kerjaya sendiri.
“Kini, Fatima juga menjadi mangsa tambahan. Apa salah dia sehingga sasaran cacian itu dihalalkan?,” luahnya.
Sementara itu, Fazura menyangkal dakwaan Neelofa yang mengatakan wujud ‘perang dingin’ antara mereka.
“Naratif ‘perang dingin’ yang digembar-gemburkan ini juga tidak betul dan tidak pasti apa niatnya.
“Sama juga seperti orang lain, saya berhak menentukan dengan siapa saya sesuai berkawan.
“Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi. Kini, izin suami dengan siapa saya wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” ungkapnya.
Pada masa sama, Fazura turut berharap agar semua pihak dapat menjalani kehidupan dalam keadaan tenang di dunia dan akhirat.
“Didoakan agar semua dapat meneruskan kehidupan masing-masing dalam keredaan Allah SWT.
“Tiada guna memerah jerami untuk mendapatkan santan. Semoga kita semua dikurniakan kebahagiaan dan ketenangan di dunia akhirat, mudah-mudahan,” ungkapnya.
Semalam, Neelofa memberitahu sudah masanya untuk dia meletakkan titik noktah terhadap kemelut yang berlaku antara dirinya dan Fazura.
Malah, isteri kepada PU Riz itu turut bersedia untuk bersemuka dengan Fazura bagi meneyelesaikan semua isu yang berkaitan mereka.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

