Di bahagian utara England, terdapat satu festival aneh yang telah dimulakan sejak ratusan tahun dahulu. Ia merupakan satu acara tahunan yang dikenali sebagai ‘Gurn’ atau pertandingan mempamerkan mimik muka paling hodoh.
Tahukah anda, pertandingan ini telah diiktiraf menjadi salah satu acara sukan di negara tersebut. Oleh sebab itu, tidak hairanlah menjelang tahun 1945, kejohanan Gurn telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan sejarah festival ini, ia merupakan sebahagian tradisi lama yang mula dipertandingkan oleh masyarakat berbangsa Inggeris sejak ratusan tahun lalu. Ia diperkenalkan pada tahun 1267. Acara ini selalunya akan diadakan pada pertengahan bulan September setiap tahun. Lokasi penganjuran festival ini di sebuah kawasan khas di Cumbria, yang dikenali sebagai Egremont Crab Fair and Sports.
Menurut penganjur, kejohanan mempamerkan mimik muka paling hodoh ini merupakan satu acara wajib yang telah disertai oleh penduduk tempatan yang tinggal di Cumbria sejak beberapa kurun lalu. Masyarakat Cumbria percaya, acara ini adalah sejenis sukan tradisi yang diperkenalkan oleh nenek moyang mereka sejak lebih 700 tahun yang lalu.

Selepas berakhirnya peristiwa Perang Dunia Kedua, acara ini mula dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Sejak itu, penyertaan memasuki pertandingan tersebut semakin bertambah setiap tahun. Ia berikutan kemasukan peserta dari luar yang turut berminat menyertai acara berkenaan. Setiap kali ia dianjurkan, lokasi pertandingan itu akan dibanjiri puluhan ribu orang yang datang untuk menyaksikan kejohanan terbabit.
Sesiapa sahaja boleh menyertai pertandingan ini. Tidak seperti acara lain, kejohanan ini terbuka pada semua lapisan masyarakat termasuklah wanita, warga emas dan kanak-kanak.
Berdasarkan syarat dan peraturan pertandingan ini, ia satu acara yang cukup mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang. Peserta hendaklah menunjukkan raut wajah paling hodoh semaksimum mungkin. Terpulang kepada peserta itu sama ada mahu mempamerkan apa sahaja aksi wajah mereka seperti melotot mata seluas-luasnya, memuncungkan mulut atau menjelir lidah asalkan ekspresi muka yang ditunjukkan mestilah hodoh.

Sebelum pertandingan dimulakan, para peserta terlebih dahulu dikehendaki memakai sejenis alat khas yang berbentuk seperti gegelung di leher mereka. Diperbuat daripada kulit, alat tersebut digelar sebagai ‘Horse Collar’. Ia berfungsi sebagai bingkai untuk menambahkan lagi kehodohan ekspresi wajah yang dipamerkan.
Secara teorinya, para peserta hendaklah menempuh dua kali saringan pemilihan sebelum layak ke peringkat seterusnya. Pada saringan pertama, semua peserta yang bertanding akan dikumpulkan di atas sebuah pentas. Selepas isyarat dimulakan, mereka akan mula bersaing antara satu sama lain sambil menunjukkan ekspresi wajah hodoh kepada pihak juri.
Seterusnya, pihak juri akan memilih 15 orang peserta terbaik sebelum menentukan pemenang pertandingan tersebut. Berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, pihak juri akan memilih peserta yang mempunyai mimik muka paling hodoh sebagai juara pertandingan ini.
Selama lebih tujuh abad dipertandingkan, individu yang paling banyak menjuarai pertandingan ini adalah Tommy Mattinson, peserta lelaki yang menjuarainya sebanyak 15 kali. Dia juga pernah memegang rekod Guiness Book of Records sebagai manusia yang mempunyai mimik muka paling hodoh di dunia.
Dikatakan Tommy mula menyertai pertandingan tersebut sejak zaman kanak-kanak lagi. Bapanya, Gordon Mattison juga merupakan bekas juara dalam pertandingan ini. Tommy Mattinson banyak mendapat tunjuk ajar daripada bapanya.
Manakala Anne Woods adalah peserta wanita yang banyak menjuarai pertandingan ini dengan memenanginya sebanyak 28 kali.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

