PENYANDANG kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dikhabarkan akan diletakkan sekali lagi sebagai calon Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember nanti.
Memetik laporan BH Online, nama Che Alias telah dicadangkan oleh Pas Terengganu.
Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang kini Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat turut dikatakan berada dalam senarai untuk menjadi calon.
Ia selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diletakkan sebagai calon parti itu pada PRK Kemaman nanti.
Difahamkan, Jawatankuasa Pas Pusat akan bermesyuarat hari ini untuk memutuskan calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.
Parti itu dijadual mengumumkan calon PRK Parlimen Kemaman di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, Khamis ini.
Baca artikel berkaitan: Kemaman bukan kubu kuat PAS – Ahmad Zahid
Sebelum ini, beberapa nama dikatakan tersenarai sebagai calon Pas untuk menghadapi PRK Parlimen Kemaman termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu itu mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ berhubung isu tersebut kerana mesyuarat berhubung pemilihan nama calon masih belum diadakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu dikhabarkan antara dua nama yang disebut-sebut bagi menggantikan Che Alias Hamid.
Seorang lagi nama yang termasuk dalam senarai adalah ADUN Chukai, Hanafiah Mat.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan Che Alias pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada PRU-15 lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas mendapat 65,714 undi, menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar yang mewakili BN, Datuk Seri Ahmad Said.
Dua lagi calon iaitu Rosli Ab Ghani (Pejuang) mendapat 506 undi manakala wakil Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

