PELAKON Beto Kusyairy dilaporkan terbabit dalam kemalangan ketika menyertai konvoi motosikal Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak, pukul 5 petang, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
Insiden tersebut dikongsi pengurus vokalis Wings Datuk Awie, Shahrul Nizan Ramli yang memaklumkan dua peserta konvoi, termasuk Beto kini dirawat di Hospital Tapah.
Katanya, aktor terbabit hanya mengalami luka-luka ringan, manakala seorang lagi berdepan kecederaan agak teruk dan kedua-dua mereka masih ditempatkan dalam wad.
“Seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai Awie bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar pukul 4 petang semalam (Isnin).
“Mungkin keadaan jalan yang agak licin akibat hujan lebat sepanjang perjalanan antara faktor yang mengakibatkan kemalangan.
“Setakat ini kami difahamkan kedua-dua mereka okey dan menerima rawatan di Hospital Tapah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut Shahrul lagi, selepas dibawa ambulan ke hospital, Awie bersama peserta konvoi lain meneruskan perjalanan ke Ipoh bagi menghadiri majlis doa selamat dan sembahyang hajat di sebuah masjid di bandar berkenaan.
Konvoi serta majlis berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis.
“Selepas selesai majlis dan solat hajat sekitar pukul 10 malam tadi, Awie bersama beberapa ahli konvoi lain singgah ke hospital melawat Beto dan seorang lagi komuniti motor Wings yang cedera.
“Kami harap semuanya baik-baik saja dan sebarang perkembangan akan kamj maklumkan nanti,” ulasnya.
Terdahulu berita kemalangan tersebut dikongsikan selebriti, Lando Zawawi menerusi satu hantaran Facebook miliknya.
Menerusi tangkap layar dalam perbualan Whatsapp yang dikongsi, Beto, 43, dikatakan telah dibawa ke hospital dengan ambulan akibat kemalangan.
Sementara itu, rata-rata peminat mendoakan supaya pelakon terbabit bersama mangsa lain segera sembuh.
“Patut ‘jammed’ kawasan tadi lalu tengok geng-geng motor ada kemalangan. Ada dua ambulans datang. Semoga dipermudahkan,” tulis seorang peminat.
Sehingga artikel ini ditulis, URTV masih lagi berusaha menghubungi Beto bagi mendapatkan kenyataan lanjut. Malah, isterinya iaitu Tisha Shahar juga gagal dihubungi kerana berada di Switzerland atas urusan kerja.
SUMBER: KOSMO ONLINE!

