SEORANG pembantu restoran berusia 18 tahun maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer 7.5, Jalan Skudai, Pantai Lido, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa yang membonceng motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, siasatan awal mendapati motosikal itu ditunggang remaja lelaki tempatan berusia 16 tahun yang bekerja sebagai pembantu gerai bersama mangsa.
Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari arah Skudai menghala ke pusat bandar sebelum penunggang dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.
“Akibatnya, motosikal terbabas lalu melanggar tembok pembahagi jalan di tengah jalan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah Toyota Vios yang dipandu wanita tempatan berusia 39 tahun, bekerja sebagai ejen insurans, tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penunggang motosikal mengalami patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Katanya, mayat pembonceng dihantar ke Unit Forensik HSA untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Azrul Hisham berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli di talian 017-3064779.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta memandu dengan cermat, berhemah dan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kemalangan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

