POLIS sedang menjalankan siasatan dan mengesan seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya yang disyaki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah memaklumkan, kejadian itu didapati berlaku kira-kira pukul 6.50 petang, kelmarin.
Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang oleh etnik Rohingya itu dari arah Padang Jawa telah membelok ke kanan menuju ke pusat komersial.
“Ia menyebabkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita bersama pembonceng iaitu anak lelakinya yang merupakan pelajar sekolah berhampiran yang bergerak lurus dari arah bertentangan telah terlanggar sisi kiri motosikal ditunggang etnik Rohingya itu.
“Kemalangan itu telah mengakibatkan wanita tersebut mengalami kecederaan ringan luka di tangan dan bahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sarudin memaklumkan wanita berkenaan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.
Katanya, pembonceng pula telah mengalami kecederaan luka di kepala dan diberikan rawatan serta pemantauan di wad Hospital Shah Alam selama satu hari.
Sarudin berkata, mangsa telah dibenarkan pulang semalam.
“Polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini bolehlah tampil ke hadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

