VOKALIS kumpulan Kangen Band iaitu Andika Mahesa bengang apabila anak lelakinya menjadi mangsa buli di sekolah.
Menurut Andika atau nama sebenarnya Mahesa Andika Setiawan, 38, mendedahkan anaknya iaitu Mahesa Mawla Bumi bukan sahaja dibuli rakannya malah turut dilontarkan dengan kata-kata kesat oleh salah seorang ibu bapa murid di sekolah tersebut.
Memetik laporan sebuah portal hiburan Indonesia, kejadian itu berlaku ketika hari sukan di sekolah anak penyanyi itu dan dia tidak dapat menghadiri kerana berada di luar kawasan.
“Saya tiada di Jakarta dan hanya dimaklumkan tentang anak saya dilemparkan dengan kata-kata kesat ketika hari sukan.
“Perkara itu membuatkan saya tak boleh terima kerana ia turut melibatkan golongan dewasa,” katanya.
Tambahnya, sewaktu kejadian, Mawla ditemani neneknya sebelum dipanggil keluar daripada kelas dan dimaki hamun oleh seorang pelajar.
Difahamkan kejadian ini berlaku selepas anak Andika tidak sengaja memecahkan sebuah Tupperware yang dipinjam milik rakan tersebut namun ia sudah digantikan.
Susulan kejadian itu, penyanyi lagu ‘Cinta Sampai Mati’ itu, dia telah membuat laporan polis mengenai insiden yang mengganggu emosi anaknya itu.
“Anak saya trauma dengan kejadian itu dan sebagai bapa sudah tentu saya tak boleh terima anak saya diperlakukan seperti itu.
“Bagi saya biar guru selesaikan jika timbul sebarang masalah dan bukannya kita sebagai orang tua yang mengamuk, marah dan maki hamun,” ujarnya.

