Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama hadapi gangguan rantaian bekalan global

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

MALAYSIA akan memimpin perbincangan ke arah langkah konkrit bagi memperkukuh daya tahan ekonomi bersama Indonesia ketika Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 di Jakarta, hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan yang menjadi platform utama membincangkan pelbagai aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan bersama Mohamad dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono.

“Berlatarbelakangkan gangguan rantaian bekalan global yang semakin meruncing, JCBC Ke-17 akan memberi tumpuan utama kepada pemerkasaan kerjasama ekonomi Malaysia dan Indonesia bagi memelihara daya tahan ekonomi kedua-dua negara.

“Malaysia akan memimpin hala tuju perbincangan ke arah langkah konkrit yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama bagi memitigasi kejutan luaran yang menjejaskan aliran perdagangan, keterjaminan tenaga, bekalan makanan serta bahan input penting industri,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, agenda mesyuarat akan memberi penekanan khusus kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, rangkaian bekalan rentas sempadan, tenaga serta keterjaminan makanan.

Selain itu, kedua-dua negara turut dijangka membincangkan isu pembatasan sempadan maritim dan darat, perdagangan rentas sempadan, kerjasama industri halal, pertahanan dan keselamatan serta pengurusan alam sekitar dan bencana.

Mesyuarat itu juga akan meneliti pelaksanaan keputusan yang dicapai semasa Rundingan Tahunan Ke-13 antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia di Jakarta pada 29 Julai tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) telah diadakan lebih awal sebagai persediaan sebelum berlangsungnya mesyuarat peringkat menteri itu.

JCBC Ke-17 turut dijangka menetapkan hala tuju baharu hubungan dua hala Malaysia-Indonesia menjelang Rundingan Tahunan Ke-14 yang akan dianjurkan Malaysia pada tahun ini.

Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan strategik yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, tenaga kerja serta kerjasama serantau menerusi ASEAN.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This