Malaysia beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia? Ini jawapan Menteri

Dari Penulis

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan laporan media menyatakan ‘Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan’ adalah tidak tepat.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat ini jelasnya, dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

“Proses perundingan turut melibatkan penglibatan aktif wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” jelasnya dalam kenyataan.

Libatkan pakar-pakar JUPEM

Beliau memberitahu, melalui persetujuan kedua-dua negara, satu pengukuran saintifik dilaksanakan berdasarkan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani terdahulu bagi menentukan jajaran sempadan yang jelas.

Menurutnya, keputusan itu dicapai melalui proses teknikal yang panjang melibatkan pakar-pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.

“Setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa (Boundary Convention 1891); (Boundary Agreement 1915); serta (Boundary Convention 1928) dan koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar konsesi politik.

“Keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa.

“Pengiktirafan ini lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang,” katanya.

Jelas beliau, penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuh kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa serta menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kedua-dua negara juga mengambil pendekatan diplomasi melalui rundingan secara berterusan bagi menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian di kawasan OBP, berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan, sekali gus memastikan keharmonian serta mengelakkan sebarang konflik di lapangan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This