PEMINAT tidak keruan apabila melihat penyanyi dan pelakon Noki K-Clique mengulang siar sepotong video mesra di TikTok bersama pelakon yang baru menginjak naik, Ezzanie Jasny.
Menerusi video Ezzanie itu dilihat dia dan Noki dilihat melakukan trend menggunakan muzik latar What’s Up Riri dengan kapsyen pada TikTok ditulis: “What’s up Rocky?”
Menerusi ruangan komen, ramai yang dilihat ‘patah hati’ dan meninggalkan emoji menangis kerana ahli kumpulan K-Clique itu sudah berpunya.
Namun begitu, Noki mahupun Ezzanie, masing-masing tidak mengiya atau menidakkan komen-komen peminat.
Terdahulu, Noki pernah memberitahu yang dia ingin menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dengan wanita pilihannya yang dilaporkan seorang pelakon baharu.
Noki ketika ditemui pada majlis tayangan filem War on Teror: KL Anarki itu berkata, sudah berhasrat untuk mendirikan rumah tangga sekitar beberapa tahun sebelum ini.
Ujarnya, dia juga sedang mengenali seseorang yang juga merupakan orang dalam industri.
“Kalau boleh tahun depan (kahwin) iaitu pada usia saya 30 tahun. Sebenarnya target kahwin umur Nabi.
Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah ketika umur baginda 25 tahun. Jadi dah terlajak ni 5 tahun. So the next target is 30, insya-Allah.
“Dia juga orang seni dan merupakan seorang pelakon baharu. Kami serasi sebab sekepala. Bukannya tak mahu perkenalkan pada umum, tapi saya rasa masih terlalu awal,” jelasnya.

