Menyifatkan tindakan Fazura adalah normal bagi seorang wanita yang bergelar isteri, jelas Fattah Amin, meminta keizinan suami merupakan tuntutan dalam Islam.
Malah dia mengakui mengambil tahu aktiviti isteri dan tidak hanya tertakluk kepada dengan siapa isterinya berkawan.
“Bagi saya adalah sangat normal bagi suami isteri memberi nasihat antara satu sama lain dan isteri kena minta izin suami dalam segala hal. Keizinan suami itu satu keberkatan untuk isteri. Jangan kata kawan, dalam apa jua keadaan pun adalah sangat normal di sisi Islam, seorang isteri minta izin dan reda suami.
“Bila sudah berkahwin perkara pertama yang perlu dijaga ialah hati pasangan dan keluarga kita. Ia berbeza waktu sebelum berkahwin. Saya akan meminta pandangan isteri dalam apa jua yang dilakukan termasuk perihal memilih naskah drama,” katanya kepada media sewaktu Pelancaran Koleksi Baju Melayu jenama Eastana Exclusive untuk Raya Aidilfitri 2024.
Dalam pada itu, Fattah menegaskan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu sementelah keizinan suami sudah tertakluk dalam lunas undang-undang agama Islam.
“Kita sebagai orang Islam pasti faham akan perkara ini dan janganlah menjadikan ia isu negatif. Jika benar saya kongkong Faz, rasanya dia tak boleh berlakon sekarang.
“Memang saya ambil tahu dengan siapa dia berkawan dan begitu juga dengan Faz. Perkara itu sangat normal dalam hubungan suami isteri,” ulasnya lagi.
Terdahulu, Fazura menjawab dakwaan ‘perang dingin’ antaranya dengan Neelofa dan menyatakan dia lebih mengutamakan keizinan suami dalam memilih kawan.

