Selain dari tamar, adakah boleh bertahnik dengan air zamzam? Apakah terdapat dalil yang mengharuskan kita menggunakan air zamzam ketika bertahnik?
Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, “Aku perlu membawa air zamzam?” Jawab Ata’,
“Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zamzam dalam botol lalu mentahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwa.” (al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198).
Artikel berkaitan: Siri 2: Siapa yang selayaknya mentahnikkan bayi dan bila waktu afdal?
Walaupun hadis ini mursal, namun ia masih disokong oleh dalil-dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zamzam, atau berubat dengannya. Bagi penulis, tidak menjadi kesalahan menggunakan air zamzam untuk melakukan tahnik.
Ini adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh orang ramai berkaitan sunnah tahnik. Mudah-mudahan sunnah yang kita lakukan dengan niat ikhlas mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Manisan sebagai ubat kebas?
Kajian sains menunjukkan, deria rasa pada lidah bayi terhadap rasa masam dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan lagi. Apa yang dicipta oleh Allah semuanya mempunyai tujuannya yang tersendiri.
Begitu juga kejadian bayi yang mempunyai deria rasa pada usia yang awal ialah bagi menggalakkan mereka menikmati susu ibu yang manis. Kerana itu, bertahnik dengan buah tamar atau sesuatu yang manis di peringkat awal akan merangsang lagi deria rasa bayi.
Pun begitu, kajian sains menunjukkan, melalui amalan bertahnik ia dilihat sebagai ‘ubat kebas’ kepada bayi dalam usaha mengurangkan rasa sakit ketika menjalani rawatan di wad. Umpamanya, bayi yang dilahirkan pramatang atau kelahiran normal akan terpaksa melalui pelbagai suntikan vaksinasi bagi menguatkan sistem tubuh mereka.
Dan kebiasaannya, paracetamol dibekalkan kepada ibu bapa sekiranya bayi tersebut demam akibat suntikan tersebut. Namun berapa ramai yang ambil tahu kesakitan yang terpaksa dialami oleh bayi berkenaan ketika disuntik?
Kesakitan akibat disuntik dengan jarum sesuatu yang realiti. Ia dapat dikesan melalui perubahan pada perlakuan dan fisiologi mereka. Selain menangis, jantung mereka akan cepat berdegup, anak mata akan membesar, pernafasan menjadi laju, kepekatan oksigen dalam darah akan menurun dan mengeluarkan peluh yang lebih banyak.
Justeru kebanyakan doktor mencadangkan agar bayi yang akan disuntik ini diberikan manisan sukrosa, setelah disuntik. Sebaik-baiknya beberapa minit sebelum disuntik. Amalan ini seolah-olah men’tahnik’ bayi yang akan disuntik.
Banyak kajian mendapati manisan sukrosa yang terdapat sebagai manisan buah-buahan boleh dijadikan sebagai ubat menahan sakit kepada bayi. Dengan ini ubat-ubat penahan sakit yang lain seperti paracetamol dapat dielakkan.
Buah kurma juga memiliki sukrosa dan fructose asli dan ini adalah pilihan terbaik untuk dijadikan ubat penahan sakit. Para saintis berpendapat, mungkin rahsia kesan pemberian sukrosa itu lebih untuk kesan rangsangan pengeluaran hormon endorphins dalam tubuh bayi. Apabila bayi menikmati manisan, hormon ini memberikan rasa tenang dan dikeluarkan dengan banyak.
Kerana itu tahnik disunatkan dilakukan sebaik kelahiran sebagai salah satu daripada ‘ubat’ penahan sakit. Dan ia amat berkesan apabila bayi masih berumur seminggu. Manfaat sukrosa semakin berkurangan apabila bayi berumur dua minggu ke atas.
Namun begitu kesan penahan sakit ini bergantung pada kepekatan sukrosayang digunakan selain faktor umur bayi tersebut. Wallahu a’lam
_______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

