ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan tersebut pada 3.46 petang.
Katanya, susulan itu, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu dan dibantu sepasukan BBP Sungai Petani tiba di lokasi kemalangan.
“Kemalangan membabitkan Proton X50 dengan sebuah lori muatan tanah 10 tan berlanggar dari arah bertentangan.
“Terdapat keseluruhan tujuh mangsa dalam kereta terbabit dan enam daripadanya meninggal dunia selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Seorang kanak-kanak perempuan yang cedera dihantar ke hospital manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, serta kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan bayi berusia enam bulan yang identiti mereka belum dikenal pasti.
Seorang lagi kanak-kanak, Aulia Sofea Ahmad Shafiq berusia tiga tahun cedera parah akibat kemalangan itu.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

