Pasha Ungu ligat berkempen kerusi Dewan Perwakilan Rakyat, bangga naik taraf banyak kemudahan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis


PENYANYI kumpulan Ungu iaitu Pasha memaklumkan dirinya merupakan salah seorang calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada pilihan raya Indonesia yang akan berlangsung tahun depan.

Pasha atau Sigit Purnomo Said,44, yang juga wakil Wali Kota atau Datuk Bandar Palu sudah bersedia merebut kerusi Parlimen di kawasannya itu.

Mengulas lanjut peranannya dalam menjadi wakil rakyat, dia bersyukur kerana sudah menjalankan tanggungjawabnya menaik taraf fasiliti bagi kemudahan penduduk.

“Alhamdulillah saya sudah selesaikan kerja saya sebagai Wali Kota. Saat ini saya fokus kepada kempen untuk kerusi Parlimen pula.

“Saya sudah mulakan kempen sejak bulan lalu lagi.  Sebelum ini, tugas sebagai Wali Kota sudah saya tunaikan sebaiknya dengan membangunkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

“Kita berikan pendidikan percuma kepada penduduk kerana memahami ada yang antara mereka tidak mampu bersekolah kerana sebelum ini perlu membayar yuran.

“Selain itu, saya juga menaik taraf infrastruktur jalan raya, kesihatan dan banyak lagi,” katanya kepada URTV.

Tambah Pasha, dia juga turut memanjangkan tempoh masa bagi kemudahan kesihatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

“Jika sebelum ini klinik kesihatan tutup pukul 4 petang tapi saya telah memanjangkan tempoh masa selepas waktu tersebut hingga tengah malam.

“Kemudahan kesihatan sangat penting dan sekiranya berlaku kecemasan, penduduk boleh datang ke klinik kesihatan berdekatan rumah pada bila-bila masa,” jelasnya.

Pasha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless di sebuah hotel di ibu kota, semalam.

Selain Pasha, empat anggota lain iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (Bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) turut hadir pada sidang media tersebut.

Konsert anjuran Icon Entertainment dengan kerjasama penaja utama, AKE Group itu bakal berlangsung pada 25 Februari 2024 di Megastar Arena KL.

Sementara itu, mengulas berkenaan kerjaya seninya bersama Ungu, Pasha berkata dia akan terus aktif menghasilkan muzik disebabkan minatnya itu hadir terlebih dahulu berbanding bidang politik.

Tegas Pasha, karier seninya itu tidak menganggu jadualnya sebagai wakil rakyat  serta kerjaya politiknya.

“Setakat ini, saya boleh saja aktif bersama Ungu dalam meneruskan aktiviti muzik kami dengan menghasilkan single baharu dan terbabit persembahan konsert. Saya tetap dapat memberi komitmen kepada Ungu.

“Anggota Ungu yang lain juga faham dengan tuntutan tugas saya dalam politik dan mereka okay dengan memberikan sokongan serta semangar. Alhamdulillah, buat masa ini semuanya masih tetap lancar,” katanya.

Bakal menghiburkan peminat Ungu di negara ini dengan 30 lagu terbaik pernah dirakam, Pasha berkata dia berharap penjualan tiket konsert mendapat sambutan baik peminat kerana akan menampilkan persembahan mantap.

Ungu yang mula dikenali peminat Indonesia dan Malaysia pada sekitar tahun 1990-an, popular dengan lagu antaranya Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Cinta Dalam Hati, Tercipta Untukmu, Andai Ku Tahu dan banyak lagi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This