Subhanallah! hebatnya lelaki itu sehingga nabi sendiri berkata sedemikian. Siapakah dia? Pasti bukan sembarangan orang.
Ya! Dia bukan orang biasa tetapi luar biasa kerana dia antara orang yang paling rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan merupakan salah seorang dari 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Malah Rasulullah s.a.w. sangat menyayangi lelaki ini. Buktinya Baginda s.a.w. bersabda,
“Setiap nabi mempunyai hawari (sahabat setia dan sahabat setiaku adalah Zubair” (HR Bukhari)
Bahkan lelaki ini juga adalah sepupu kepada Baginda dan menantu kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Isterinya bernama asmak binti Abu Bakar manakala ibunya Safiyyah adalah puteri Abdul Mutalib.
Zubair termasuk diantara tujuh orang terawal yang memeluk Islam dan perintis perjuangan di Darul Arqam. Melihat susur galur dan hubungan persaudaraan itu sudah cukup mengagumkan. Apatah lagi setelah menyelususri sendiri kehebatannya.
Nama penuh lelaki ini ialah Zubair bin Awwam bin Khuwailid al-Quraisyi al-Asadi. Juga dikenali sebagai Abu Abdillah dan digelar hawari Rasulullah s.a.w. Antara anaknya yang terkenal dalam sejarah Islam ialah Abdullah, Urwah dan Ursa.
Bagaimanapun dia pernah melalui kisah duka dan dibesarkan sebagai anak yatim sejak kecil setelah kematian ayahnya. Ibunya seorang wanita yang berani dan sangat tegas. Dia mendidik Zubair agar menjadi seorang yang sangat berani dan berjiwa besar. Justeru itu cara didikannya dilihat agak keras.
Wanita itu sering memukul si anak. Disebabkan itulah Safiyyah pernah ditegur. Malah Naufal bin Khuwailid yang juga bapa saudara kepada Zubair pernah terserempak dia diperlakukan begitu. Melihat perlakuan Safiyyah yang dianggap kasar, maka Khuwailid melaporkan kepada ketua kaum Bani Hashim
Tatkala berita itu sampai kepada pengetahuannya, wanita itu yang kematian suaminya membalas, tujuannya berbuat demikian bukan kerana benci atau sengaja menzalimi anaknya tetapi lebih kerana ingin mendidik agar anaknya tangkas menunggang kuda, berjiwa kental, bijaksana, menjadi insan berguna dan memimpin angkatan tentera.
Ternyata harapannya itu menjadi kenyatan. Zubair membesar sebagai salah seorang sahabat paling berani dan sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran demi mempertahankan Islam serta amat menyayangi Rasulullah s.a.w.
Bahkan suatu ketika dia Bersama dengan Khalid al-Walid berperang menggunakan dua pedang dalam satau masa sambil menunggang kuda. Selain sifat yang disebutkan itu, dia juga seorang yang warak hartawan dan dermawan.
Suatu hari tersebar berita Rasulullah s.a.w. ditangkap oleh kaum Quraisy dan Baginda gugur syahid. Kala mendengar berita tersebut, Zubair yang pada ketika itu baru berusia 16 tahun segera keluar dari rumah secara tergesa-gesa menuju ke kediaman Baginda s.a.w. untuk memastikan kesahihan berita tersebut.
Kerana terlalu marah, dia membawa pedang terhunus di tangan. Bagaimanapun hatinya bertukar ceria dan syukur apabila mendapati Nabi s.a.w. dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan. Sementara itu Rasulullah pula terpinga-pinga menyambut kedatangan sahabatnya dengan sedemikian rupa. Lalu Baginda s.a.w. bertanya dan kemudian tersenyum setelah mendengar cerita Zubair.
Kata Rasulullah lagi,
“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, apakah yang engkau akan lakukan?
Zubair membalas,
“Aku lebih rela memilih mati daripada hidup tanpa Rasulullah.”
Lalu Baginda s.a.w. berkata,
“Inilah pedang pertama yang akan terhunus kerana Allah dan Rasulnya” Wallahu a’lam.
___________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

