Bagi peminat sukan lumba kereta Formula 1 (F1) sudah tentu kenal dengan nama Ayrton Senna. Legenda F1 dari Brazil itu antara pelumba terbaik dalam sejarah yang menjadi ikon dalam dunia perlumbaan.
Dilahirkan di Santana, Sao Paulo, Brazil pada 1960, beliau pertama kali merasai bahang perlumbaan kereta apabila memandu go-kart pada usia empat tahun. Pada usia 12 tahun, dia telah menulis dalam buku karangannya di sekolah bahawa apa yang dimahukan dalam hidupnya ialah untuk menjadi seorang pelumba kereta.
Senna membuat penampilan pertamanya dalam perlumbaan GP Brazil pada tahun 1984 bersama pasukan Toleman. Sepanjang beraksi dalam kancah F1, Senna telah memenangi tiga kejohanan dunia iaitu pada tahun 1988, 1990 dan 1991. Beliau juga telah menamatkan 81 perlumbaan Grand Prix (GP) dengan 41 kemenangan, dan telah mencatat 65 kali bermula di petak pertama perlumbaan.
Kepantasan pelumba dari Brazil ini mengendalikan kenderaannya berbanding rakan seangkatan di eranya memang tidak dapat dinafikan. Senna pernah digelar sebagai ‘The Rain Man’ kerana kehebatannya memandu kereta F1 di litar yang basah. Senna juga digelar sebagai ‘Master of Monaco’ kerana telah menjuarai GP Monaco sebanyak enam kali.

Namun, tragedi yang berlaku pada 1 Mei 1994 sewaktu perlumbaan Grand Prix San Marino di litar Imola, Itali telah mengejutkan dunia. Pada tarikh itu, Senna telah terkorban di saat kariernya sedang berada di puncak ketika berusia 34 tahun.
Senna terlibat dalam nahas akibat gagal mengawal jentera Williams-Renault yang dipandunya di selekoh Tamburello di litar Imola. Beliau terbabas lalu melanggar tembok penghadang pada kelajuan hampir mencecah 300 kilometer sejam di pusingan ketujuh.
Impak kemalangan pada kelajuan tinggi itu telah menyebabkan kepalanya cedera kerana hentakan. Meskipun helmet Bell M3 kuning kesayangannya kelihatan tidak rosak, sebenarnya otak Senna mengalami kecederaan yang sangat parah. Senna tidak sedarkan diri sejurus kemalangan itu berlaku.
Pasukan perubatan cuba memberikan rawatan awal kepada Senna sebelum pelumba itu diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital Maggiore di Bologna. Pengumuman rasmi mengenai kematiannya dibuat lima jam selepas kemalangan ngeri itu dan kematian Senna berpunca daripada pendarahan otak akibat hentakan kuat pada kepala.



Sementara itu pihak pihak berkuasa Itali membuat kesimpulan bahawa kemalangan ini disebabkan kerana kekurangan keselamatan di litar tersebut, dan antara faktor lain adalah keadaan litar yang sempit dan menyebabkan berlakunya kemalangan itu.
Apabila berita kematian Senna tersebar, orang ramai mula berkumpul di luar bangunan kediaman Senna di Sao Paulo dan menangis. Presiden Brazil ketika itu, Itamar Franco, mengisytiharkan tiga hari berkabung dan menawarkan keluarga Senna menggunakan pesawat presiden untuk membawa pulang jenazah Senna.
Di stadium Maracana di Rio de Janeiro, hampir 100,000 peminat yang sedang menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Flamengo dan Vasco berdiri dan menepuk tangan mereka secara serentak, melaungkan, “Ole-oleleo la, Sen-na, Sen-na.” Keadaan itu telah berulang-ulang dalam setiap stadium di mana permainan yang dimainkan di Brazil petang itu.
Pengebumian Senna telah disiarkan secara langsung di televisyen Brazil dan kira-kira tiga juta orang berbaris di jalan-jalan Sao Paulo menyaksikan perarakan jenazah Senna ke tempat pengebumian. Ramai bintang F1 menghadiri pengebumian Senna seperti Alain Prost, Jackie Stewart, Damon Hill, Emerson Fittipaldi dan Rubens Barrichello.

Tragedi di GP San Marino pada tahun 1994 itu antara peristiwa terbesar dalam sejarah F1 dan kematian Senna merupakan satu kehilangan besar kepada sukan permotoran paling berprestij di dunia itu.
Kematian Senna telah membuka mata pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tentang masalah keselamatan di litar lumba dan membuka landskap F1 untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam F1 seperti melihat perlindungan dalam kereta dan perubahan pada kawasan litar.
Sejak insiden itu, tahap keselamatan F1 telah dirombak semula dan pihak FIA telah bekerja keras untuk meningkatkan piawaian keselamatan. FIA mula mendirikan komisen keselamatan dan pasukan penyelidik untuk mencari penyelesaian bagi isu-isu keselamatan yang besar dalam sukan itu bagi mengelakkan risiko kematian pelumba walaupun kemalangan masih berlaku.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

