AKTOR Bollywood Shah Rukh Khan menutup tahun 2023 dengan lakonan hebatnya menerusi filem berjudul Dunki.
Filem arahan Rajkkumar Hirani itu mengisahkan tentang empat sekawan yang tinggal di sebuah perkampungan kecil di Laltu, Punjab yang memasang impian untuk berhijrah ke London, England demi mengubah nasib masing-masing.
Naskhah sarat dengan emosi itu turut memaparkan bagaimana mereka berhadapan dengan masalah apabila visa mereka untuk ke London tidak diluluskan disebabkan faktor penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

Kemunculan Hardy Singh Dhillon (Shah Rukh Khan) mengubah segalanya dan peluang empat sekawan itu untuk pergi ke negara yang diimpikan bakal tertunai dengan bantuan lelaki itu.
Meskipun pelbagai halangan yang perlu tempuhi namun Hardy Singh bersama empat sekawan iaitu Taapsee Pannu (Manu), Anil Grover (Balli), Vikram Kochhar (Buggu) dan Vicky Kaushal (Sukhi) nekad mengambil keputusan untuk melalui jalan ‘haram’ yang dikenali sebagai Dunki untuk ke England. Mereka terpaksa menempuhi liku-liku sepanjang perjalanan dan lebih menyedihkan ada nyawa yang turut terkorban.
Biarpun sarat dengan emosi, pengarah turut menyelitkan elemen humor agar penonton tidak kebosanan menyaksikan perjalanan cerita ini sehingga ke penghujung kisah.

Banyak mesej positif yang boleh diberikan perhatian antaranya semangat setia kawan selain erti persahabatan dalam bersama-sama menempuh apa sahaja cabaran dan halangan.
Saksikan filem ini yang sudah pun ditayangkan bermula 21 Disember lalu di seluruh pawagam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

