MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya insiden pengeboman yang berlaku di kawasan perkuburan Kerman, Iran yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa dan ratusan tercedera, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Malaysia dengan tegas menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan.
Pada masa sama, Kementerian Luar turut menyeru individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.
“Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini serta kepada kerajaan dan rakyat Iran.
“Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan tiada laporan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam tragedi tersebut.
Baca artikel lain: Malaysia ucap takziah kepada Iran, gesa dalang diheret ke muka pengadilan – PM
Bagaimanapun, katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Kedutaan Malaysia di Tehran boleh dihubungi di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb atau telefon (+98 21 880724444 atau +98 21 88078606) dan menerusi e-mel di [email protected] atau [email protected],” katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

