PENGARAH terkenal Bollywood, Karan Johar mengakui kerap meminta pelakon wanitanya untuk melakukan adegan ‘gila’ di dalam filemnya.
Baru-baru ini pelakon terkenal Bollywood, Rani Mukerji menerusi satu temu bual Galatta Plus Mega Pan India Roundtable 2023 bersama rakan-rakan selebriti yang lain berkongsi momen berlakon bersama pengarah tersebut yang menjadi ingatan sehingga sekarang
Pelakon berusia 45 tahun itu berkongsi dia pernah diusung ke dalam kereta kerana tidak mampu bergerak dan beku selepas melakukan penggambaran di suhu -14 darjah Celsius dan Rani hanya mengenakan busana sari yang nipis bagi selari dengan konsep filem yang diketengahkan.
Kejadian itu berlaku ketika penggambaran video lagu Tumhi Dekho Naa untuk dimuatkan dalam filem Kabhi Alvida Naa Kehna lakonannya bersama Shah Rukh Khan pada 2005.
Rani berkata pada ketika itu tiada siapa yang bertanya kepadanya sama ada dia berasa sejuk atau tidak.
“Saya memakai saree merah dalam lagu itu, dan saya sebenarnya dah beku dan terkaku.
“Saya tidak dapat berjalan. Salah seorang sepupu saya, yang juga penolong pengarah Ayan Mukerji, terpaksa membawa saya ke kereta saya.
“Jika anda melihat muzik video lagu tersebut, boleh lihat bagaimana saya membuat lip-sync dengan bibir saya yang beku,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi temu bual yang sama, Karan Johar mengimbas kembali perbualannya bersama pelakon Alia Bhatt, dimana dia bertanya jika aktres itu bersetuju untuk memakai sari sifon semasa keadaan cuaca yang sejuk
Rani kemudiannya memberi respon serta menyindir pengarah tersebut dengan menyatakan pelakon baru beruntung kerana keselamatan dan kesihatan mereka lebih dijaga berbanding mereka.
“Mereka sangat bertuah kerana mereka ditanya, pada zaman kita, tiada siapa yang bertanya kepada kita sama ada kita berasa sejuk,” ujarnya.

