TOPIK jodoh menjadi pilihan untuk dibicarakan pada kali ini kerana di fan Page ramai yang memperkatakan tentang perkara ini. Melihat keadaan ini, timbul di fikiran bahawa ramai individu di luar sana yang sedang mengalami dilema mencari jodoh tetapi enggan berbicara tentangnya kerana malu.
Tidak dinafikan, ramai yang beranggapan, dilemma sukar mencari jodoh hanya dialami oleh kaum Hawa. Hakikatnya, kaum Adam juga sebenarnya tidak terkecuali daripada berhadapan dengan masalah ini.
Sebagai hamba-Nya, kita harus mengakui bahawa jodoh itu di tangan Tuhan. Sewaktu di alam roh lagi telah ditetapkan setiap daripada kita tentang jodoh, soal mati dan sebagainya. Biarpun tidak tahu siapakah jodoh sebenar kita, namun kita harus yakin bahawa jodoh kita itu pasti ada.
Malah, kita juga harus merasakan bahawa jodoh ini adalah satu hadiah dan anugerah daripada Allah SWT. Jika ingin dipertemukan dengan jodoh yang baik, maka seharusnya kita perlu menjadi orang yang baik juga. Insya-Allah, Allah juga akan mengurniakan jodoh yang baik buat kita.
Satu kisah yang ingin boleh dikongsikan kepada semua boleh dijadikan panduan atau teladan. Ia berkaitan dengan kisah seorang peguam di mana sewaktu masih menuntut di universiti, gadis ini beria-ia benar ingin mendirikan rumah tangga.
Pada waktu itu, keinginannya untuk berkahwin sangat tinggi. Namun, dia sebaliknya tidak langsung berusaha memperbaiki dirinya untuk menjadi Muslimah sejati.
Segala-galanya berubah apabila suatu hari dia mendengar kata-kata daripada seorang alim yang mengatakan ”Untuk menjadi seorang isteri yang baik, kita perlu sibuk memperbaiki diri, mencari ilmu, memperbetulkan akidah, ibadah dan akhlak sebagai seorang isteri yang solehah.”
Setelah mendengar kata-kata tersebut, gadis ini lantas mengubah sikapnya. Dia mula menyibukkan dirinya dengan pergi ke kelas agama untuk mencari dan mendalami ilmu agama, menjaga aurat, solat dan pergaulannya.
Tidak pula dia memakai pakaian cantik, bersolek atau bergaya manja dan kemudian memaparkannya di laman sosial. Tanpa disangka-sangka, perubahan dirinya itu menjadikannya seorang gadis yang beriman.
Malah, dia juga bertemu jodoh dengan lelaki yang beriman juga. Mereka hanya bertunang tiga bulan dan terus mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Perlu diingat, tujuan mencari jodoh bukan semata-mata untuk menunjuk bahawa kita cantik. Kesannya orang yang melihat akan tertarik pada fizikal kita sahaja. Sebaiknya, jadikan diri kita magnet kerana tidak perlu ke mana-mana dan kita hanya berada di situ. Jodoh pula akan datang sendiri dan inilah yang terbaik.
Satu lagi kisah mengenai seorang doktor yang juga susah bertemu jodoh. Kata orang, wanita berkerjaya profesional ini biasanya memang sukar bertemu jodoh kerana lelaki takut nak rapat dengannya.
Doktor wanita ini bekerja seperti biasa, solat lima waktu dan berbudi pekerti. Dia turut menjaga penampilan dengan mengenakan solekan. Namun, malangnya jodoh tidak juga sampai meskipun penampilannya menarik.
Menyedari mungkin ada sesuatu yang kurang pada dirinya, lalu wanita ini berubah sikap dan mula bermujahadah kepada Allah. Setiap hari, dia bangun awal, melakukan solat tahajud, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan keluarga, sentiasa menolong orang yang dalam kesusahan tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Dalam fasa perubahannya itu dengan izin Allah, dia bertemu dengan jodohnya dalam masa dua bulan. Seminggu kemudian, mereka bertunang dan terus bersatu sebagai suami isteri.
ELAK BERFIKIRAN NEGATIF
Dalam menanti kehadiran jodoh, seseorang itu perlu mengelakkan diri daripada berfikiran negatif. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, didapati orang yang lambat bertemu jodoh ini selalu mengatakan begitu sukar bagi mereka untuk menemui lelaki yang baik. Kebanyakan lelaki menurut mereka, tidak boleh dipercayai.
Anggapan negatif sebegini sebenarnya membuatkan magnet kita menjadi sangat negatif. Maka, akhirnya bertemulah kita dengan jodoh yang tidak boleh dipercayai sama seperti apa yang kita anggap sebelum ini.
Apa yang penting, sekiranya telah bertemu jodoh seperti yang diingini, hargailah jodoh tersebut dengan sebaiknya. Dalam waktu yang sama, jadikan jodoh kita itu sebagai jalan ladang pahala untuk bertemu Allah kelak.
FORMULA MUDAH MENDAPAT JODOH
1. Seseorang itu perlu bertanggungjawab untuk menarik jodoh dengan menjadi magnet yang baik.
2. Lakukan sehingga penghujungnya. Ini bermakna, untuk mendapat jodoh, suami, anak, menantu dan cucu yang baik, kita perlu membayangkan semua perkara baik dengan menentukan program yang baik untuk dilakukan
3. Keutamaan untuk mendapat jodoh. Perlu diingat, tujuan seseorang itu berkahwin bukan kerana mengikut orang lain. Berkahwin itu kerana mengikut sunah nabi di samping mendapat zuriat.
4. Jika ada yang bertanya bila hendak mendirikan rumah tangga, jawablah ‘Insya-Allah’. Jangan pula berkata, ‘Belum ada jodoh’.
5. Apabila sudah berkahwin, sentiasa jaga hubungan dengan suami atau isteri. Insya-Allah, kedua-duanya akan bahagia.
6. Fahami pasangan terlebih dahulu jika mahu pasangan juga memahami diri kita.
7. Kita perlu sentiasa mencari ilmu. Rumah tangga adalah dinamik. Bukan kahwin dan terus runtuh. Cinta pula bukan satu status, tetapi ia adalah satu perbuatan.
8 LOVE. L itu Listen (dengar cakap pasangan supaya dia menyayangi kita). O itu overlook (jangan tengok salah dia, tetapi fokus pada kebaikannya). V itu Voice out (sebutkan bahawa kita menyayangi dirinya dengan ikhlas). E itu Effort (sentiasalah berusaha ke arah itu).

