PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas langganan OKU Smile khusus bagi pengguna orang kurang upaya (OKU) menikmati tambang percuma bermula 1 Februari depan.
Prasarana dalam kenyataan memaklumkan, pengenalan inisiatif tersebut susulan daripada pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana pada 21 Disember lalu.
Menurut Prasarana, pas tersebut adalah untuk semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu.
Jelasnya, pengaktifan dan permohonan baharu pas OKU Smile akan bermula esok.
Prasarana memberitahu, pengguna boleh terus melanggan atau mengaktifkan pas OKU Smile bermula esok di mana-mana kaunter Rapid KL LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.
“Pengguna perlu memastikan baki minimum RM5 untuk menggunakan pas berkenaan.
“Bagi pemegang kad yang telah tamat tempoh, anda perlu memohon untuk mendapatkan kad baharu. Ia boleh dibuat di kaunter pendaftaran konsesi terpilih iaitu untuk Rapid KL, di hab Pasar Seni atau stesen MRT Conlay.
“Di Pulau Pinang, permohonan baharu boleh dibuat di Ibu Pejabat Rapid Penang, Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral.
Baca artikel lain: Tambang percuma perkhidmatan Prasarana untuk pemegang kad OKU mulai 1 Februari
“Sementara di Pahang, permohonan boleh dikemukakan di Rapid Kuantan, iaitu di Terminal Hentian Bandar,” katanya.
Mengulas lanjut, Prasarana menjelaskan, pengguna yang mahu membuat kad konsesi OKU baharu perlu membawa bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan verifikasi.
Katanya, proses pengeluaran kad di kaunter mengambil masa 10 hingga 15 minit.
“Prasarana akan mengadakan siri jelajah ke beberapa persatuan OKU bagi memberi penerangan berkaitan produk ini.
“Kaunter pendaftaran secara bergerak juga akan dibuka bagi memudahkan golongan ini memohon kad OKU Prasarana sepanjang siri tersebut.
“Tambang percuma ini juga bukti keprihatinan kerajaan dan tanggungjawab korporat sosial Prasarana yang cakna terhadap kebajikan masyarakat.
“Selain itu, ia sebagai galakan kepada komuniti OKU untuk menggunakan pengangkutan awam serta meluaskan kesalinghubungan kepada golongan tersebut,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

