Mahu memastikan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, YEG Academy melancarkan program Work-based Learning (WBL), sebuah platform inovasi kerjaya dan pendidikan terbesar bagi membantu golongan muda memilih bidang pengajian yang sesuai dengan pasaran kerjaya terkini.
Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada lepasan SPM mendapatkan pendidikan berkualiti yang menyeluruh sambil merasai pengalaman praktikal dalam industri sebenar, melalui cara Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning). Ini sekaligus dapat menyelesaikan isu pengangguran dan masalah kewangan yang dihadapi oleh rata-rata pelajar di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, terdapat kebimbangan berikutan terdapat 72 peratus pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian dan lebih selesa memilih landasan media sosial sebagai medium menjana pendapatan.
Atas sebab itu, mereka mengambil inisiatif membantu pelajar melanjutkan pengajian dalam masa yang sama menimba pengalaman bekerja dalam industri sambil menjana pendapatan.
“Tidak dapat dinafikan daripada 72 peratus ini melihat pempengaruh dan tugasan sebagai pencipta kandungan antara penyebab utama mereka tidak mahu sambung belajar. Mereka melihat jadi ‘influencer’ ini lebih terkenal atau bekerja sebagai pemandu e-hailing seperti Grab lebih mudah mendapatkan duit.
“Dan kami sedar remaja sekarang mahukan duit cepat. Atas sebab itu kami wujudkan inisiatif mencipta program WBL iaitu kombinasi antara teori dan praktikal kerana belajar cara konvensional sudah lapuk. Program ini menumpukan setahun proses pembelajaran dan dua tahun latihan industri di mana mereka boleh menjana pendapatan,” katanya kepada media.
Mengenengahkan empat program utama yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran, kata Azizulhakim lagi, kerjaya ini mampu menjamin pendapatan sehingga lima angka sebulan.
“Program yang dipilih seperti program pengurusan Haji dan Umrah, bidang perhotelan, industri penerbangan dan jururawat merupakan industri yang mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran. Peluang pekerjaan dalam bidang ini cukup besar dan negara masih kekurangan tenaga kerja dalam industri berkait. Di sinilah kami memainkan peranan dengan menjadi pelengkap dengan menawarkan kursus berkaitan dan seterusnya mendapat kerjasama syarikat berkenaan untuk menyediakan tempat latihan praktikal buat pelajar.
“Dan program ini dikenali sebagai multination industri kerana peluang pekerjaannya meluas ke seluruh dunia. Malah ramai pelajar kami menjalani latihan amali di Dubai dan Switzerland serta mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, YEG Academy turut mensasarkan 3000 pelajar menyertai program bagi tahun 2024 dan ditambahbaik dengan tawaran pengajian sarjana secara percuma.
“Apa yang menarik untuk tahun ini, pelajar diploma yang meneruskan pengajian sarjana muda akan ditawarkan pengajian sarjana secara percuma. Kami menyediakan ekosistem yang lengkap di mana tempat belajar dan pekerjaan disediakan dengan mendapat gaji penuh.
“Hari ini juga kami lancarkan program WBL iaitu work-based learning. YEG Pesta Sambung Belajar memasuki tahun ketiga dan untuk 2024 kami tambah baik dengan forum inovasi pendidikan untuk membincangkan berkenaan 72 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu sambung belajar dan di mana silapnya.
“Panel hari ini dipanggil dari pemain industri dan berdiskusi bagaimana mencari solusi di mana pelajar belajar dan terus bekerja.
“Malah bukan sekadar teori, kami menyediakan mereka dengan pengalaman dalam industri dan ini memberi nilai tambah dalam resume. Mereka bukan sahaja pelajar bergraduasi, namun mereka lepasan graduasi yang berpengalaman. Ini adalah jalan pintas bagi menaiktaraf Pendidikan dan kerjaya pelajar,” tambahnya lagi.

