PERSELISIHAN faham antara dua nelayan sungai di Sungai Lubok Kepong, di Segamat Johor yang tular sejak semalam diselesaikan secara baik.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkat pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada individu berkaitan yang bertujuan untuk menyelesaikan perselisihan faham itu dengan baik.
Menurut beliau kedua-dua pihak juga tidak mahu mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Polis telah mengesan dan mengambil maklum penyebaran kenyataan dan perkongsian video di media sosial berkaitan perselisihan faham antara dua nelayan semalam.
“Polis Daerah Segamat dan Jabatan Perikatan Daerah Segamat telah mengambil maklum berkaitan insiden itu yang hanya melibatkan dua individu terbabit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Ahmad Zamry berkata satu perjumpaan melibatkan kedua-dua individu bersama Polis Daerah Segamat, Jabatan Perikatan Daerah Segamat, ketua kampung turut dibuat sejurus laporan polis diterima.
“Satu perjumpaan telah dibuat dan telah mencapai penyelesaian penuh ke atas isu tersebut yang dapat menjernihkan isu secara kerjasama yang baik,” katanya.
Ahmad Zamry turut menasihati orang ramai agar menghentikan penyebaran atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak tepat terhadap isu yang telah selesai itu.
Sementara itu, seorang daripada nelayan menerusi satu video yang dimuat naik dengan menggunakan akaun Baung Padu menjelaskan mengenai perjumpaan berkenaan.
“Hari ini kita selesaikan masalah yang tular. Pada dasarnya tiada benda apapun. Kita pun macam adik beradik tiada masalah,” katanya.

