PENYANYI Sufian Suhaimi, 32, menjelaskan video yang tular pada Oktober tahun lalu bukanlah majlis pertunangan seperti yang didakwa orang ramai.
Sebaliknya, kata Sufian, video tersebut merupakan majlis merisik yang berlangsung di kediaman bakal isterinya, Rania Al-Sadat,24, pada Oktober tahun lalu.
“Kami masih belum bertunang lagi. Video yang tular itu sebenarnya majlis merisik yang berlangsung kecil-kecilan antara keluarga dan rakan rapat saja.
“Saya tak kisah video tersebut tular sebab benda baik. Tapi ramai yang salah faham ingat kami bertunang tapi itu majlis merisik saja,” katanya kepada URTV.
Penyanyi lagu Mencuba itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Sufian, dia bagaimanapun tidak menolak untuk bertunang terlebih dahulu sebelum hari pernikahannya yang dirancang pada tahun ini.
“Saya jenis yang tak kisah sebenarnya nak bertunang atau pun tidak.
“Tapi kalau nak sempurna dan ikut adat, mungkinlah saya akan buat juga majlis bertunang sebelum majlis pernikahan.
“Kami juga mahu hubungan ini mengikut adat. Perkenalan ini bukan sekadar kawan-kawan. Keluarga kedua belah pihak juga sokong apa yang kami rancang.
“Bertunang itu tak ada keperluan, tapi kalau hendak menyempurnakan adat, kami akan buat juga,” jelasnya.
Oktober tahun lalu, tular klip video memaparkan seorang wanita dipercayai ibu Sufian, menyarung cincin di jari manis seorang gadis di TikTok sekaligus mencetuskan spekulasi dalam kalangan warganet mengenai status penyanyi itu yang didakwa sudah bertunang.
Sementara itu, Sufian turut mengulas mengenai prinsipnya yang kurang gemar berkongsi foto kekasih hatinya yang merupakan peguam pelatih di media sosial.
Jelas Sufian, dia lebih selesa menggunakan media sosial untuk urusan kerjaya berbanding hal peribadi.
“Saya rasa zaman teknologi ini kalau buat carian di Google atau media soaial orang akan jumpa. Kalau tak berkongsi pun orang akan tahu.
“Kalau hendak kata sorok, tak juga. Mungkin saya jenis orang seperti itu, jarang berkongsi mengenai hal peribadi. Kalau nak tengok gambar dia (bakal isteri) boleh saja ‘follow’ akaun Instagram dia.
“Gambar-gambar keluarga saya pun jarang saya kongsikan di media sosial. Saya lebih suka jadikan media sosial untuk hal profesional,” tuturnya.
April tahun lalu, Sufian mencuri tumpuan apabila tampil berpakaian sedondon berwarna merah bersama teman wanitanya pada majlis pernikahan rakan baik, Aiman Tino dan isteri, Che Syarah Haifa Che Isa.
Tidak menafikan gadis terbabit adalah teman wanitanya, bagaimanapun, Sufian dilaporkan belum bersedia untuk mendedahkan identiti kekasih hatinya itu sehingga tiba masa sesuai.
Sekadar info, pada 2017, Sufian bertunang dengan pelakon Elfira Loy, namun, putus, kira-kira empat bulan kemudian.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

