SEGALA teka-teki dan spekulasi yang berterbangan di media sosial mengenai hubungan akrab antara pelakon, Bella Astillah, dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, akhirnya terjawab dengan satu pengakhiran yang cukup manis.
Pasangan yang sering menjadi perhatian netizen ini secara rasminya mengesahkan mereka bakal mengikat tali pertunangan pada petang Sabtu di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota.
Berita yang mengejutkan ramai pihak ini mula tular apabila Syed Saddiq sendiri memuat naik sebuah hantaran video yang menyentuh hati di laman Instagram miliknya.
Video tersebut memaparkan detik romantis di mana dia memberikan cincin lamaran kepada Bella di puncak Gunung Kinabalu, Sabah, ketika mereka sedang menjayakan satu misi pendakian sebelum ini.
Apa yang paling menarik perhatian peminat adalah bagaimana hubungan ini mula berputik.
Siapa sangka, kolaborasi profesional yang pada mulanya bermatlamat untuk membantu rakyat akhirnya menyatukan dua jiwa dari dua latar belakang yang sangat berbeza iaitu politik dan seni.
Mengimbas kembali detik bersejarah dalam hidupnya itu, Syed Saddiq menyatakan bahawa perjalanan ini hanyalah satu fasa baharu yang lebih besar dalam kehidupan mereka berdua.
“Detik saya melamar itu akan sentiasa menjadi memori terindah apabila dia memberikan jawapan ‘ya’.
“Namun, bagi saya, ini bukanlah pengakhiran kepada sebuah penceritaan cinta, sebaliknya ia adalah garis permulaan buat kami.
“Hari ini adalah majlis pertunangan kami, dan saya pohon agar semua dapat mendoakan yang terbaik buat perjalanan kami berdua,” katanya.
Hubungan mereka bukan sekadar sandaran emosi semata-mata, malah dibuktikan dengan pencapaian yang luar biasa menerusi kerja-kerja kebajikan yang pernah mereka laksanakan bersama sebelum ini.
Kelibat Bella yang sering dilihat menyokong kempen bantuan rakyat kelolaan Syed Saddiq rupa-rupanya menyimpan rahsia hati yang cukup murni.
Syed Saddiq dalam hantaran yang sama turut meluahkan rasa kagumnya bagaimana kerjasama yang pada asalnya bersifat formal akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka, baik dari segi impak sosial mahupun peribadi.
“Segalanya bermula daripada satu kerjasama biasa demi kepentingan rakyat yang akhirnya berjaya meraih dana melebihi RM6 juta.
“Tanpa sedar turut menyatukan dua hati,” katanya.
Peminat dan rakan artis rata-ratanya memenuhi ruangan komen di media sosial dengan ucapan tahniah, menyifatkan Bella dan Syed Saddiq sebagai pasangan yang sangat serasi kerana kedua-duanya memiliki jiwa yang besar dalam membantu masyarakat.

