Komunikasi Aspek Kemahiran
Dalam sesebuah institusi keluarga, aspek komunikasi adalah tunjang untuk keharmonian rumah tangga seterusnya membentuk keluarga yang bahagia dan aman damai. Lebih tepat lagi komunikasi adalah aspek kemahiran yang perlu dibina.
Tanggungjawab suami untuk mendidik isteri dan anak-anak agar sentiasa mendekatkan diri pada Allah. Semua mesej ini perlu disampaikan dan dijelaskan dengan cara komunikasi yang baik dan berkesan. Suami perlu tahu tanggungjawabnya, begitu juga dengan isteri. Suami adalah ketua keluarga dan bukannya raja manakala isteri pula adalah pembantunya dan bukan seorang hamba.
“Sebagai ketua keluarga perlu ada sifat kepimpinan, toleransi, bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati. Jangan tunjukkan siapa lebih dominan dalam rumah tangga kerana biasanya kedudukan ini akan menyuburkan lagi ego seseorang antara pasangan tersebut. Jika suami itu tahu akan tugas dan tanggungjawabnya pastinya dia boleh menjadi pemimpin yang disayangi dan dihormati oleh isteri dan anak-anak.
“Dengan memperlakukan isteri seperti hamba, seseorang itu pastinya tidak sedar akan tanggungjawabnya dalam rumah tangga. Ilmu masih lagi cetek dan berlaku kegagalan komunikasi. Akibatnya, lebih mudah terjadinya konflik dalam rumah tangga. Jika berlaku perceraian, kesannya kepada semua pihak akan ditanggung untuk jangka masa panjang khususnya oleh anak-anak. Jelas di sini, perceraian adalah jenayah kasih sayang.
Tidak Bersedia Pikul Tanggungjawab
Menjawab persoalan dari aspek persediaan untuk memasuki alam perkahwinan, Ustaz Subari berpendapat, bukan “masih belum bersedia” tetapi tidak mahu bersedia secara mental, fizikal, kewangan dan sebagainya. Katanya, pasangan lebih melihat perkahwinan dari aspek keseronokannya semata-mata dan mengganggap keluarga adalah liabiliti (bebanan) bukan responsibiliti (tanggungjawab).
“Ada segelintir pasangan yang gemar mengekalkan gaya hidup bujang (kurang tanggungjawab, lebih bersosial atau bebas). Mereka tidak berusaha untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan ilmu berkaitan agama, kekeluargaan, komunikasi, kawalan emosi dan sebagainya.
“Perceraian di usia muda ini terlalu ironik dengan saranan Islam untuk berkahwin dalam usia muda (Syabab) yang sepatutnya adalah paling ceria, aktif, terbuka untuk terima pendedahan dan pengalaman. Namun jika pasangan muda ini sudah bersedia dan tahu tanggungjawabnya, perkahwinan dalam usia ini tidak menjadi masalah, malahan mereka sewajarnya bangga kerana mampu mengutip pengalaman di alam perkahwinan dalam usia yang masih muda,” ujar beliau.
Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri Pepatah Melayu sering kali menyebut “Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri’, dalam hal ini Ustaz Subari berkata, pepatah ini lahir dari pengalaman dan realiti kehidupan.
Ia sangat bertepatan dengan kehidupan rumah tangga dan realiti hidup pasangan suami isteri yang sangat kompleks dan eksklusif.
Jelasnya seakrab mana hubungan, adakalanya berlaku juga konflik. Konflik yang ditangani dengan betul dan berkesan, akan mengeratkan lagi hubungan begitu juga sebaliknya. Malah dengan adanya dugaaan seperti ini, pasangan akan lebih menghargai kebahagiaan yang dikecapi.
Kesabaran, persefahaman, timbang rasa yang dipupuk melalui perbincangan bersama, kerjasama dan rasa hormat dalam pasangan menjadi elemen utama menghadapi situasi ini.
“Saya ingin berkongsi contoh kisah pasangan Saidina Ali dan Fatimah. Pada satu malam, berlaku krisis antara mereka. Tanpa menangkis atau membalas kata isterinya, Saidina Ali mengambil pendekatan meninggalkan sementara rumahnya dan tidur di masjid Nabawi beralaskan tanah berbumbungkan langit sehingga tubuhnya dilitupi habuk tanah. Hinggakan Rasulullah sambil tersenyum menggelarnya Abu Turaab (bapa debu tanah).
Pendekatan mendiamkan diri dengan apa yang dikatakan oleh isteri, Saidatina Fatimah adalah suatu langkah bijak meredakan stress pasangan.
Malah si isteri turut memahami mengapa si suami bertindak sedemikian. Lalu pasangan saling bermuhasabah tentang kekurangan masing-masing. Hasilnya, kemaafan diberi sebelum dipinta.”
“Apa yang penting dalam menjaga kerukunan rumahtangga ialah sabar, sabar, sabar. Sabar menghadapi karenah dan kekurangan pasangan, sabar melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab, sabar melalui sebarang bentuk kepayahan dan kesusahan bersama. Binalah keyakinan pasangan meskipun masing-masing punya kekurangan, terima pasangan sedanya dan rancanglah kebahagiaan secara bersama. Paling penting, landaskan sesuatu tindakan pada ajaran agama. Solat berjemaah dengan pasangan sangat efektif untuk membina rasa hormat menghormati.
Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan ubahlah tabiat buruk yang ada. Jangan lupa memohon doa kepada Allah, semoga pasangan dan keluarga dilimpahi rahmat dan redhaNya,” katanya.

