VOL I : Pasangan muda cerai setiap 15 minit. Jenayah kasih sayang!

Dari Penulis

Saat akad nikah dilafazkan oleh lelaki, maka si isteri adalah hak dan tanggungjawab suami untuk mendidik, membimbing dan sama-sama menyemai kasih sayang dalam satu ikatan yang sah dan halal.

Perkahwinan bukanlah satu bebanan malahan ia adalah ikatan yang mampu memberi seribu satu kenikmatan dalam kehidupan seseorang. Untuk membentuk dan membina sebuah perkahwinan yang bahagia, pasangan itu perlu melalui pelbagai bentuk atau asam garam dalam rumah tangga.

Apabila telah bergelar suami atau isteri seseorang itu akan melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan berumah tangga. Pengalamanlah yang mematangkan seseorang itu. Andai kata ikatan perkahwinan itu gagal hingga membawa kepada perceraian, ia pastinya menjadi satu episod duka kepada individu berkenaan lebih-lebih jika pasangan itu masih dalam usia muda.

Bagi mereka perceraian adalah jalan terakhir yang menjadi noktah kepada masalah rumah tangga walaupun dalam Islam sendiri perceraian adalah sesuatu yang dibenci dan perlu dielakkan.

Menjelas lebih lanjut mengenai perceraian di kalangan pasangan muda, pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Islam, Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS), Muhammad Subari Ramli berkata, perceraian adalah gejala negatif dalam masyarakat. Peningkatan peratusan perkahwinan sepatutnya tidak diiringi dengan peningkatan peratusan perceraian.

Katanya lagi, perceraian bukan setakat berlaku dalam keluarga yang berprofil tinggi seperti artis dan professional tetapi juga di kalangan masyarakat biasa.

Antara faktor atau punca kepada perceraian adalah kurangnya ilmu dan kefahaman tentang objektif berkeluarga mengikut syarak. Malah pendedahan terhadap tanggungjawab seseorang itu dalam institusi keluarga juga tidak diberi keutamaan. Terdapat kecenderungan anak muda hari ini yang kurang mengutip pengalaman sebaliknya lebih kepada hal-hal yang melekakan mereka terhadap tanggungjawab dalam rumah tangga.

Sebanyak lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu. GAMBAR HIASAN

“Apabila perkahwinan berlangsung dalam usia yang masih muda, misalnya awal 20-an, biasanya kita lihat pasangan itu agak gugup dan belum matang. Kematangan seseorang itu tidak boleh dilihat dari aspek fizikal semata-mata tetapi ia perlu diukur melalui tahap kesediaan dan keupayaan seseorang itu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri. Perkahwinan yang tidak dirancang sebaik mungkin, tergesa-gesa, tanpa restu keluarga atau sebagainya menyebabkan ia turut berlangsung dalam suasana kurang matang”

“Antara aspek kekurangan ilmu di sini termasuklah kurangnya kemahiran individu itu sendiri. Misalnya keupayaan suami atau isteri untuk melakukan sesuatu kerja rumah. Sebagai bandingan, sesuatu yang sangat mempersonakan si isteri, memiliki seorang suami yang professional tetapi mempunyai pelbagai kemahiran lain yang dapat dikongsi bersama seperti bertukang, membaikpulih, memasak, mengemas, mengurus kerja rumah dan dapur.

“Serba serbinya tahu dan melakukannya sendiri tanpa bergantung dengan orang lain. Kemahiran seperti ini tidak akan merendahkan martabat suami atau mencalar ego lelaki, malah ia mampu mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Perceraian juga berkaitan dengan kurangnya ilmu agama seperti munakahat yang menjadi asas untuk menguruskan rumah tangga dengan baik. Pengetahuan yang mendalam tentang munakahat sangat membantu pasangan memahami realiti hidup berkeluarga malah terhadap kesan sesuatu tindakan atau keadaan seperti talak, nafkah, pendidikan anak, pewarisan dan sebagainya. Mempunyai pengetahuan tentang ini akan melahirkan rasa yakin, persefahaman dan sabar antara pasangan dalam mengurus rumahtangga. Masing-masing akan mengetahui tanggungjawab dan peranan dalam keluarga,” jelas beliau.

Selain daripada faktor yang dijelaskan tersebut, Ustaz Subari juga turut mengulas beberapa faktor lain yang menjadi punca perceraian di kalangan pasangan muda. Antaranya adalah tidak mendapat restu ibu bapa, faktor ekonomi atau kewangan stabil seperti tidak bekerja, dibelenggu hutang dan keinginan hidup mewah melebihi kemampuan.

Faktor fizikal dan seksualiti turut memainkan peranan. Sebahagian pasangan berkahwin kerana pesona kecantikan. Apabila pasangan tidak lagi cantik atau gemuk, ia seakan-akan telah menghilangkan selera pasangan. Kehendak batin pasangan akan mula diabaikan.

Penyakit kronik yang dihidapi pasangan juga adakalanya menjadi punca kepada pengabaian tadi. Begitu juga dengan faktor campur tangan daripada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain turut menjadi faktor yang membawa kepada perceraian. Mungkin niat asal hanya ingin membantu pasangan muda yang kurang matang ini tetapi akhirnya menjadi punca kepada perceraian akibat salah tanggap atau sebagainya. Faktor buruk akhlak, ketagihan arak, dadah, judi, berpoya-poya turut menyumbang kepada perceraian pasangan muda.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Permintaan emas meningkat, KESS sasar 30 cawangan baharu tahun ini!

KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS), jenama yang gah dengan jolokan 'Soorga Emas Preloved', terus mengorak langkah agresif...

More Articles Like This