Pengkhianat memang layak berambus daripada PDRM

Dari Penulis

PENULIS boleh memahami kekecewaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain apabila dengan tegas berkata, anggota pasukan itu yang tidak mematuhi peraturan dan terlibat kes salah laku ‘berambus’ daripada pasukan keselamatan tersebut.

Kata beliau,’’…patutnya tanggalkan semua logo-logo yang ada pada seragam itu kemudian berambuslah sekali, janganlah lepas tanggal masih ada lagi dalam pasukan.’’

 Penegasan Razarudin yang dibuat ketika menyampaikan amanat dalam perjumpaan khas bersama ketua polis daerah Semenanjung Malaysia di Cheras, semalam membuktikan beliau semakin rimas dengan satu demi satu kes melibatkan anggota polis.

Walaupun hanya segelintir sahaja melakukan jenayah tetapi ia sudah cukup untuk mencemarkan imej pasukan tersebut. Apatah lagi jenayah itu menjadi bualan masyarakat apabila tular dalam media sosial.

Agak hairan, adakah anggota-anggota polis yang dirakam melakukan jenayah tersebut seperti meminta rasuah berfikiran cetek atau dalam bahasa tidak ada akal untuk memahami sekarang zaman media sosial? Masyarakat sudah bijak merakam gelagat anggota polis sama ada yang baik atau yang buruk untuk ditularkan. Kalau yang baik Alhamdulillah…kalau yang buruk pasti bawa masalah.

Malangnya akibat beberapa kerat pegawai atau anggota polis yang tidak cerdik ini, imej pasukan polis tercemar sedangkan terdapat ribuan lagi anggota keselamatan itu yang bekerja penuh amanah dan berhemah demi menyara keluarga.

Bagi penulis, pegawai atau anggota polis yang melakukan perbuatan mencemarkan pasukan itu adalah pengkhianat. Mereka khianati sumpah yang dilafazkan, mereka khianati kawan-kawan sepasukan, mereka khianati imej pasukan polis dan mereka khianati amanah negara. Justeru sewajarnya mereka ini seperti mana kata Razarudin berambus daripada PDRM kerana kelompok pengkhianat ini tidak layak sesenpun berada dalam pasukan berkenaan.

Mereka telah diberi peluang mencari rezeki dalam PDRM, mereka diberi peluang berkhidmat untuk negara dan mereka diberi harapan oleh keluarga untuk mencari sesuap nasi melalui gaji sebagai pegawai atau anggota PDRM TETAPI itu semua mereka khianati! Kerana apa? Kerana nafsu syawat, kerana nafsu mahu hidup mewah, kerana nafsu yang merasakan dengan kuasa mereka boleh melakukan segala-galanya!

Kepada pegawai dan anggota polis yang sudah ditangkap atau didakwa terimalah pembalasan akibat kebodohan sendiri dan kepada yang belum lagi tertangkap dan ‘masih terselamat’ hentilah kerja-kerja bodoh tersebut kerana lambat laun kalian pasti ‘tersungkur’ – berambus lebih baik!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sistem POS Johor tutup ruang ketirisan minyak masak subsidi

KEJAYAAN mekanisme Point of Sale (POS) di Johor dalam memperkemas rantaian pengedaran minyak masak peket bersubsidi serta mengurangkan ketirisan...

More Articles Like This