Sejak penubuhannya selama hampir 27 tahun, seramai 500 orang huffaz al-Quran berjaya dilahirkan. Mereka bukan sahaja fakih dan mahir dalam cabang al-Quran dan hadis, malah dalam kalangan mereka juga kini ada yang bergelar doktor, serta menjawat pelbagai bidang professional yang lain.
Inilah permata ilmu yang berjaya digilap oleh Kumpulan Pendidikan Sofa hingga sinarnya menerangi masyarakat kita hari ini. Matlamat utama adalah melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah al-Quran dengan berteraskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah. Dengan kejayaan ini juga As-Sofa bertekad dengan azam yang kukuh untuk terus melahirkan lebih ramai lagi generasi huffaz al-Quran di masa akan datang.
Menurut Pengarah Kumpulan Pendidikan Sofa, Ustaz Amirul Isma Md Yusof, bagi mencapai matlamat tersebut As-Sofa telah menyusun visi dan perancangan untuk melahirkan seramai 5,000 penghafaz al-Quran menjelang tahun 2034 nanti.
Mereka ini bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran, mahir serta memiliki ilmu yang mendalam tentang al-Quran dan al-Hadis, malah mereka juga turut menguasai cabang ilmu-ilmu dalam bidang yang lain.

“Bayangkan betapa bertuahnya kita jika tangan doktor yang merawat di hospital atau klinik ialah hafiz al-Quran. Begitu juga akauntan mahupun juruwang yang menguruskan kewangan kita juga adalah dari kalangan pencinta al-Quran.
“Bukan itu sahaja, malah pemimpin-pemimpin yang akan mentadbir negara kelak adalah dalam kalangan huffazul Quran. Dan inilah yang as-Sofa sedang laksanakan agar generasi akan datang dipenuhi dengan ilmu dan cahaya al-Quran di dalam dada mereka.” Ujarnya dalam kenyataan media sempena majlis meraikan kejayaan 500 huffaz As-Sofa yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam majlis tersebut juga turut dihadiri ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terkemuka dunia antaranya Prof. Dr. Sayyid Toha al-Idrisi, Sayyid Khalid al-Idrisi, Sayyid Walid al-Idrisi, Sayyid Usamah al-Idrisi dan Sayyid Yasir al-Idrisi serta pengasas Kumpulan Pendidikan Sofa, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin.
Sementara itu menurut Pengarah Program, Dr. Mohd Sufi bin Ibrahim al-Hafiz, kehadiran ulama terkemuka dunia yang dijemput khas dari Arab Saudi ini merupakan hadiah bagi meraikan kecemerlangan tertinggi al-hafiz keluaran As-Sofa.
“Al-Hafiz di sini bukan hanya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah mereka juga turut berjaya mengkhatamkan pembacaan kitab Sahih al-Bukhari yang mengandungi sebanyak kira-kira 7,000 hadis.
“Majlis penghargaan ini adalah simbolik kecemerlangan ahli ilmu yang mencintai al-Quran dan menyanjung tinggi sunnah Baginda s.a.w.”
Semenjak penubuhan institut pertamanya Maahad at-Taufiqi al-Husaini di Rembau pada 1997, sehingga kini As-Sofa telah berjaya melebarkan sayap dakwahnya dengan menubuhkan 18 buah institusi pendidikan berteraskan al-Quran bermula dari peringkat tadika di Tadika Aulad As-Sofa sehingga ke peringkat pengajian tinggi Kolej Islam As-Sofa. Dan ini semua merupakan cetusan idea Datuk Muhammad Fuad Kamaludin sehingga membuahkan manfaat kepada umat Islam.
Malah dalam majlis ini juga sebuah lagi institusi al-Quran dirasmikan iaitu As Sofa Quranic Centre (AQC) yang beroperasi di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan London. Wallahu a’lam
______________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

