Baru-baru ini heboh dalam kalangan wargamaya apabila seorang lelaki yang terkenal dengan gelaran “Hot Daddy” dijemput menjadi tetamu dalam sebuah rancangan bual bicara (podcast). Wargamaya mempersoalkan kenapa pihak BrosgangTV (BGTV) perlu menjemput individu tersebut yang kini terlibat dalam skandal persundalan dan zina. Malah dia juga telah didakwa di mahkamah atas tuduhan mempromosi persundalan dengan ramai wanita yang lain.
Tindakan pihak BGTV ini turut dikecam kerana boleh dianggap sebagai salah satu cara mempromosikan serta menormalisasikan persundalan. Secara tidak langsung ini akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat terutama para remaja bahawa perbuatan jenayah dan ahli maksiat bukanlah perlakuan yang buruk. Sedangkan perbuatan mereka sememangnya harus dikecam dan dilaknat, malah mereka seharusnya tidak diberikan tempat sebegini.
Dalam menghadapi situasi ini apa agaknya layanan Islam terhadap orang yang sering melakukan maksiat, atau ahli maksiat? Dikisahkan dalam kitab Fathul Bari, seorang lelaki bernama Nuaiman adalah seorang ahli maksiat. Dia dan anaknya Abdullah pernah dihukum kerana minum arak.
Dalam satu kejadian, seorang lelaki berkata kepada Nuaiman,
“Semoga Allah melaknatmu”
Walaubagaimanapun Rasulullah s.a.w. melarang lelaki tersebut berkata demikian. Baginda bersabda,
“Jangan lakukan itu, kerana dia mencintai Allah dan Rasul Nya”
Kisah ini diriwayatkan oleh saidina Umar al-Khattab r.a. beliau berkata,
“Sesungguhnya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi s.a.w. yang bernama Abdullah. Dia digelar sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah s.a.w. ketawa. Nabi s.a.w. pernah menyebatnya disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi lalu Baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang lelaki pun berkata, “Ya Allah! Laknatlah dia. Berulangkali dia melakukan hal yang sama.” Maka Nabi s.a.w. berkata, “Janganlah kalian melaknatnya. Demi Allah tidak aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan rasul Nya” (HR Bukhari)
Dari kisah ini jelas, walaupun tindakan Nuaiman dan anaknya melakukan dosa besar namun Baginda s.a.w. tetap tidak membenci, mengecam atau melaknatnya, malah Baginda s.a.w. mendoakan agar Nuaiman dan anaknya berubah serta diampuni Allah.
Hukum melaknat pelaku maksiat
Berdasarkan apa yang dinyatakan dalam al-Kafi li al-Fatawi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkait dengan hukum melaknat pelaku maksiat, ia terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
Pertama: Melaknat ke atas golongan kafir ataupun pelaku maksiat dalam bentuk umum seperti ucapan laknat Allah ke atas golongan Yahudi dan Nasrani. Ataupun ucapan seperti, “laknat Allah ke atas golongan kafir, fasiq atau orang yang zalim.
Begitu juga seperti melaknat ke atas peminum arak atau pencuri. Maka semua perkataan laknat yang ditujukan kepada umum sebegini adalah dibolehkan. Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Muflih.
“Dibolehkan untuk melaknat golongan kafir secara umum”.
Kedua: Melaknat dalam bentuk ta’yin (menentukan) kepada individu yang dilaknat seperti melaknat orang kafir atau fasiq dengan ucapan,
“Laknat Allah ke atas si fulan (dengan menyebutkan nama orang tersebut). Maka dalam isu ini ada dua keadaan iaitu:
- Sekiranya yang dilaknat itu telah disebutkan dalam nas al-Quran atau hadis yang dirinya dilaknat ataupun namanya disebut secara khusus dalam al-Quran sebagai mati dalam kekufuran maka dalam kes ini boleh untuk dilaknat secara ta’yin. Mereka itu seperti Iblis, Firaun Abu Lahab dan Abu Jahal. Menurut Imam Ibn Muflih, “Diharuskan untuk melaknat sesiapa yang telah terdapatnya nas yang menunjukkan dirinya dilaknat”. Manakala sesiapa yang tidak melaknat mereka tidaklah dianggap berdosa.
- Melaknat orang kafir atau fasiq secara ta’yin iaitu dengan menyebutkan namanya sedangkan tidak terdapat nas yang menunjukkan orang tersebut dilaknat maka dalam hal ini ulama terbahagi tiga pendapat iaitu tidak dibenarkan, kedua dibolehkan untuk orang kafir sahaja manakala untuk orang fasiq tidak dibenarkan melaknat secara ta’yin dan ketiga dibolehkan melaknat secara mutlak.
Melaknat ahli maksiat secara mutlak
Menurut pandangan ulama mengikut empat mazhab hukum melaknat ahli maksiat secara ta’yin adalah seperti berikut:
Pertama: Mazhab Hanafi. Tidak dibolehkan untuk melaknat secara (khusus individu tersebut) yang kita tidak tahu sama ada matinya dalam kekufuran, sekalipun dia memang seorang fasiq.
Kedua: Mazhab Maliki. Adapun orang yang melakukan maksiat maka ulama sepakat tidak dibenarkan melaknat secara khusus individu tersebut
Ketiga: Mazhab as-Syafie. Tidak ada satu pun tujuan kita yang bersifat syarie yang membenarkan untuk melaknat muslim pada asalnya. Kemudian di antara tempat yang diharamkan adalah melaknat secara khusus individu tersebut sekalipun dia seorang fasiq
Keempat: Mazhab Hanbali. Imam Ahmad apabila disebut tentang Hajjaj dan juga beberapa orang zalim maka Imam Ahmad berkata,
“Ketahuilah laknat Allah ke atas orang-orang zalim. Beliau tidak suka untuk melaknat secara muayyan (ditentukan secara khusus).”
Berdasarkan keterangan di atas, sekalipun seseorang itu memang ahli maksiat maka kita sebagai seorang muslim tidak digalakkan sama sekali melaknat dirinya. Benar, kita tidak menyukai perbuatan fasiq yang dilakukan walaupun berulang kali, namun apa yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. adalah memberikan doa yang baik supaya ahli maksiat ini berubah dan kembali bertaubat kepada Allah.
Secara umumnya perbuatan mempromosikan ahli maksiat juga bukanlah satu tindakan yang boleh disokong kerana dampaknya lebih banyak mudarat dari manfaat. Malah Rasulullah s.a.w. mencela perbuatan seseorang yang mendedahkan dosa mereka sendiri kepada umum, sedangkan Allah telah pun menyembunyikan maksiat yang mereka lakukan. Apalagi jika dosa maksiat itu pula akan menjadi ikutan kepada masyarakat.
Bukankah lebih elok jika yang menjadi tetamu sesuatu program itu adalah ahli maksiat yang sudah kembali bertaubat, pasti kesan manfaatnya lebih baik dan secara tidak langsung menjadi motivasi kepada yang mendengar untuk bertaubat.
Apa pun jua semoga kita semua sentiasa diberikan keampunan atas segala perbuatan yang kita lakukan sama ada sedar atau tidak. Wallahu a’lam
_______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

