Apabila disebut perkataan UFO, pasti yang terbayang dalam fikiran kita ialah makhluk asing. Adakah UFO benar-benar merupakan makhluk asing yang datang dari planet lain di kosmos ini atau adakah laporan penampakan UFO hanyalah khayalan atau fantasi mereka-mereka yang mempunyai masalah mental?
UFO (unidentified flying object) ialah istilah yang menggambarkan objek terbang yang tidak dikenali. Sejak laporan UFO mula muncul secara meluas di Amerika Syarikat pada Jun 1947, ia telah menarik minat umum di seluruh dunia. Waktu itu, ia dikenali sebagai ‘piring terbang’. Â
Pihak Tentera Udara Amerika Syarikat adalah badan rasmi pertama di dunia yang telah ditugaskan untuk mendokumentasikan serta mengkaji misteri ini. Disebabkan ia satu fenomena baru, pihak tentera udara terus mengandaikan bahawa UFO adalah sejenis haiwan angkasa lepas. Teori tersebut telah memeranjatkan banyak pihak.
Selepas ramai mempertikaikan dan mungkin berasa teori tersebut tidak masuk akal, mereka terpaksa menarik balik kenyataan tersebut. Ini adalah permulaan kepada timbulnya pelbagai teori apakah yang dikatakan UFO. Pelbagai pihak telah cuba mencari jawapannya. Maka lahirlah banyak versi tentang teori mengenainya.

Seorang pakar jiwa yang terkenal, Carl Jung, tanpa melihat kepada semua bukti fizikal yang terdapat pada laporan UFO telah merumuskan bahawa penampakan UFO hanyalah suatu bentuk kelemahan jiwa manusia. Ini membawa maksud UFO tidak wujud dalam realiti. Ia hanya wujud di fikiran dalam bentuk khayalan, halusinasi dan fantasi. Ini semua dipengaruhi oleh jiwa dalaman yang lemah serta bermasalah.
Sebagai seorang saintis, Carl Jung sepatutnya lebih objektif dalam analisisnya. Ini kerana UFO dapat dikesan dalam radar, meninggalkan kesan fizikal pada tanah tempat ia mendarat, memberi tindak balas pada peralatan elektrik seperti televisyen, radio dan lain-lain. Adalah tidak tepat mendakwa ia hanyalah rekaan minda.
Ramai ahli sosiologi juga berpendapat bahawa UFO tidak wujud. Mereka melihat pada keadaan sosial di sesuatu tempat dan mengandaikan bahawa apa yang dilihat bukan UFO tetapi salah interpretasi objek biasa kerana dipengaruhi oleh keadaan sosial-politik semasa.
Pada tahun 1909 umpamanya, ramai orang di England melaporkan melihat cahaya ganjil di udara. Menurut ahli sosiologi, penampakan itu bukan UFO tetapi adalah hasil kebimbangan saksi-saksi terhadap provokasi pihak Jerman yang berkeinginan hendak menyerang England.
Bagaimanapun pada tempoh waktu yang sama, cahaya-cahaya misteri ini turut dilaporkan dilihat di New Zealand dan Australia. Penduduk di sana tiada sebarang kebimbangan dengan pihak Jerman. Jadi mengapakah mereka melihat dan melaporkan perkara yang sama? Para sosiologis tadi tidak dapat menjelaskan perbezaan situasi ini.

Pada peringkat awal kemunculan UFO, ramai yang beranggapan bahawa UFO adalah objek terbang sulit milik Rusia. Pihak Rusia pula beranggapan ia mungkin milik Amerika Syarikat. Setelah diketahui ia bukan milik kedua kuasa besar dunia itu, secara rahsia pihak Amerika dan Rusia membuat banyak kajian kerana ingin tahu siapakah ‘pihak ketiga’ tersebut.
Oleh kerana pihak berwajib tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dengan kedudukan laporan kenampakan UFO dan makhluk asing, maka pihak awam dan individu yang berminat dengan fenomena ini di seluruh dunia, telah mengemukakan banyak spekulasi atau andaian tentang asal usul UFO.
Ada segelintir pihak yang percaya bahawa makhluk asing sebenarnya adalah manusia dari masa depan. Mereka telah menemui kaedah untuk masuk ke zaman silam. Disebabkan oleh perubahan genetik, rupa bentuk manusia telah berubah dan kelihatan kurus, botak, kulit bertukar ke warna kelabu dan sebagainya. Teori ini disifatkan lebih kepada sains fiksyen.
Di antara teori yang paling popular ialah UFO dan makhluk asing berasal dari langit. Ini kerana semua UFO dilihat muncul atau sedang turun dari langit. Banyak laporan lain mengatakan UFO berlepas naik ke langit dan hilang daripada pandangan.
Dakwaan pelbagai saksi yang mengatakan menyaksikan makhluk-makhluk ganjil yang dilihat keluar dari pesawat UFO menguatkan lagi hujah bahawa mereka adalah makhluk dari langit dan bukan hantu ataupun jembalang.

Terdapat juga segelintir manusia yang percaya bahawa UFO dan makhluk asing bukan dari angkasa tetapi berasal dari perut Bumi. Teori ini mengatakan bahawa di perut Bumi terdapat rongga-rongga yang boleh didiami.
Di kawasan lapang dalam perut bumi ini terdapat satu tamadun manusia yang berjaya mencipta pesawat terbang yang kita panggil UFO. Teori ini dikenali sebagai Hollow Earth Theory (Bumi Berongga). Teori ini popular pada tahun 1950-an.
Mereka ini cuma percaya UFO berasal dari perut Bumi tanpa mengambil kira keadaan geografi bila mana kita memasuki semakin dalam ke perut Bumi. Ini kerana, suhunya semakin panas serta kekurangan oksigen. Ini tidak mengambil kira lagi bagaimana mereka bercucuk tanam untuk kelangsungan hidup. Dari segi teknologi, bagaimana pula mereka memandu uji pesawat UFO yang dapat terbang sangat laju? Timbul pula andaian mereka keluar melalui lubang yang terdapat di Kutub Utara dan Selatan.
Bagi yang percaya tentang teori Hollow Earth ini, cerita kewujudan bangsa Ya’jud dan Ma’jud boleh jadi satu contoh yang tepat untuk mereka. Bangsa ini digambarkan sebagai suatu bangsa manusia yang agresif dan terdapat di perut Bumi. Soalnya kini, jika UFO dan makhluk asing yang digambarkan ialah Ya’jud dan Ma’jud, mengapakah ‘mereka’ tidak menawan Bumi sedangkan UFO dapat dilihat dengan kerap di permukaan Bumi sejak dahulu?

UFO sering mempamerkan kebolehan yang tidak dapat dijelaskan oleh ilmu fizik yang kita fahami. Sebagai contoh, UFO boleh muncul di suatu sudut udara, kemudian ghaib dan tiba-tiba muncul di sudut langit yang lain.
Adakalanya UFO yang berbentuk seperti logam pejal tiba-tiba menjadi lut sinar dan kemudian ghaib. Ciri-ciri ini semua membuatkan sesetengah penyelidik UFO percaya bahawa terdapat dimensi lain bersebelahan dengan realiti kita. Kata mereka, UFO mungkin berasal dari dunia lain atau dimensi lain yang pancaindera manusia tidak mampu mengesannya. Ini juga bermaksud UFO bukan berasal dari langit tetapi dari dunia atau dimensi bersebelahan dengan kita.
Jadi yang mana satu dari pelbagai teori di atas yang betul? Ada dua cara untuk mendapatkan jawapannya. Satu ialah dengan mengkaji data laporan UFO dari seluruh dunia dan kedua dari mulut makhluk asing sendiri.
Dikatakan sejak dahulu, ramai saksi yang mendakwa telah bertemu dan bercakap dengan ‘mereka’ telah bertanya dari mana makhluk asing ini datang. Berikut adalah analisa daripada jawapan yang diterima.
Dari mulut makhluk asing sendiri, 94 peratus daripada mereka mendakwa berasal dari langit. Ini bermaksud mereka datang daripada pelbagai planet yang berada di galaksi yang bercambah di kosmos ini. Hanya enam peratus mendakwa mereka datang dari dimensi lain.
Ada segelintir makhluk asing yang memberitahu saksi bahawa disebabkan manusia tiada ilmu yang luas tentang kosmos ini, adalah mustahil untuk memberitahu dari mana mereka datang. Ramai daripada makhluk asing memberitahu nama planet serta sistem bintang iaitu lokasi dari mana mereka datang. Akan tetapi ia tidak memberi sebarang makna kepada manusia kerana pengetahuan manusia masih belum terjangkau untuk melihat sehingga ke lokasi asal mereka di angkasa.
Kebanyakan kajian setuju mengatakan UFO dan makhluk asing datangnya dari langit. ‘Mereka’ datang bukan hanya dari satu planet tetapi banyak planet. Ini kerana terdapat perbagai jenis makhluk asing dalam berbagai-bagai saiz, bentuk serta rupa. Keadaan ini bertepatan sekali dengan andaian para saintis bahawa terdapat berbilion planet lain yang mungkin ada kehidupan.
__________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

