Pentingnya saringan pra-perkahwinan, bukan sekadar ujian HIV

Dari Penulis

Sebelum tibanya hari penting bagi pasangan raja sehari, pastinya pelbagai persiapan perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Selain menyiapkan barang hantaran, pelamin, pakaian dan pelbagai lagi, satu perkara penting yang tidak harus dilupakan adalah melakukan saringan kesihatan. Jika persiapan untuk menuju ke alam rumah tangga boleh dilakukan dengan sebaik mungkin dengan perancangan yang rapi, ujian saringan kesihatan juga aspek utama yang perlu dilaksanakan oleh bakal pengantin.

Kesihatan juga perlu diutamakan dan tidak wajar dipandang mudah apalagi dalam perkembangan sains kesihatan serta sifat keterbukaan masyarakat mengenai pentingnya aspek Kesihatan tidak wajar sama sekali topik ini dikesampingkan ataupun tidak dipedulikan oleh sesetengah bakal pengantin.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pentingnya ujian saringan kesihatan ini di kalangan bakal pengantin, Pakar Perubatan, Dr. Zulkornain Ahmad berkata, penyaringan kesihatan bagi pasangan yang akan berkahwin adalah amat penting. Ada sesetengah masyarakat masih alpa dan tidak kurang juga yang belum pasti maksud sebenar persiapan sebelum perkahwinan. Kebanyakan mereka beranggapan ia cuma semata-mata ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV) sahaja.

“Penyaringan kesihatan merupakan saringan kesihatan yang menyeluruh daripada pemeriksaan fizikal hinggalah kepada ujian-ujian darah dan air kencing. Rata-rata masyarakat tidak begitu mengambil berat tentang saringan pra-perkahwinan tersebut dan tidak meletakkan ia sebagai keutamaan,” katanya.

Kepentingan Masih Diketepikan

Menurut Dr. Zulkornain lagi, pelbagai alasan diberikan oleh bakal pengantin dalam membincangkan isu ini dan ia termasuklah membuang masa, ujian-ujian yang dilakukan seperti ujian darah yang terlalu mahal dan ada yang menganggap ia membebankan.

“Bagi mereka yang tidak berkemampuan, besar kemungkinan mereka tidak membuat pemeriksaan disebabkan kos, kecuali ada di kalangan ahli keluarga yang bermasalah. Ada juga yang beranggapan sekiranya keputusan yang diterima nanti adalah positif, maka hubungan pasangan dan ahli keluarga mereka menjadi pudar terutama penyakit-penyakit yang berkait dengan masalah kelamin seperti HIV. Pelbagai tanggapan negatif akan berlaku dalam masyarakat.

“Tetapi pada hakikatnya tidak, seandainya keputusan-keputusan positif diperolehi, sekurang-kurangnya pasangan tersebut telah bersedia menerimanya sama ada dari segi mental dan fizikal. Sekali gus, ia membantu meningkatkan kualiti kesihatan pasangan tersebut, di samping mendapat rawatan segera,” jelas beliau lagi.

KEBAIKAN SARINGAN KESIHATAN

Penyaringan kesihatan praperkahwinan merangkumi pelbagai aspek kesihatan dan pemeriksaan darah. Melalui penyaringan ini, ia boleh membantu mengesan pelbagai penyakit terutama penyakit-penyakit yang berkait dengan keturunan atau genetik, penyakit berjangkit seperti sifilis, HIV, hepatitis dan juga penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Selain itu, melalui pemeriksaan tersebut juga boleh membantu pasangan tersebut mengenal pasti masalah masing-masing terutama dari segi reproduktif, sekali gus melihat keupayaan menghasilkan zuriat dan yang paling penting kesan kepada zuriat yang bakal dilahirkan kelak.

TEMPOH SARINGAN

Pasangan yang hendak berkahwin boleh menjalankan pemeriksaan tersebut pada bila-bila masa sahaja sebelum berkahwin. Masa yang terbaik adalah enam bulan sebelum menjelang perkahwinan.

Jika terdapat masalah hasil daripada ujian tersebut, rawatan boleh diberikan secepat mungkin. Pemeriksaan tersebut boleh dilakukan di mana-mana klinik yang berdekatan.

KAEDAH SARINGAN

Menurut Dr. Zulkornain lagi, kebiasaannya, pemeriksaan praperkahwinan ini dimulakan dengan sejarah kesihatan untuk mengenal pasti penyakit-penyakit pada pasangan dan keluarga tersebut sekiranya ada seperti kanser, sawan, kencing manis, darah tinggi. Pasangan ini juga akan ditanya mengenai amalan merokok, minum alkohol, penggunaan dadah dan pendedahan seks.

“Seterusnya, doktor akan membuat pemeriksaan fizikal untuk memastikan tekanan darah, jantung, paru-paru dalam keadaan baik. Tanda-tanda kurang darah, asma, penyakit kulit juga akan dikenal pasti sekiranya ada,” ujar Dr. Zulkornain.

CARA MENGATASI

Pendidikan tentang pentingnya mengenai saringan praperkahwinan harus diterapkan kepada semua individu. Mereka harus mengetahui jenis-jenis penyakit biasa dan komplikasi-komplikasinya.

Jelas Dr. Zulkornain, pasangan juga mesti mengetahui sedikit sebanyak mengenai sistem reproduktif kedua-dua jantina terutama dari segi fungsi dan fizikal. Ia boleh membantu merancang rumah tangga dengan lebih sempurna dan efisien. Selain itu, pengetahuan dalam bidang kontraseptif atau kaedah-kaedah merancang yang betul perlu juga diketahui.

Persepsi atau stigma buruk Masyarakat kepada penghidap penyakit-penyakit tertentu haruslah dielakkan. Sebaliknya, sokongan moral yang berterusan sepatutnya diberikan. Mereka perlulah mendapatkan rawatan segera bagi kepentingan diri, zuriat dan keluarga.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keanggunan songket maroon burgundy, sentuhan eksklusif Man Kajang di majlis resepsi anak Che Ta, Ammar Effendy & isteri

DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai,...

More Articles Like This