MENGAMBIL inspirasi kisah Seri Gumum iaitu cerita rakyat tentang seekor naga yang pernah menjelajah perairan gelap Tasik Chini, Pahang, pereka fesyen Rizman Ruzaini menjadi ‘signature’ utama koleksi Raya 2024 Couture Collection.
Tintaan manik, perincian batuan Swarovski dan labuci yang mempesonakan dilhamkan daripada sisik naga yang kemilau menambah seri serta gaya mewah pada helaian rekaan.
Manakala warna utama yang dipilih adalah daripada rona kebiruan, hijau, jingga gelap, perang, kekelabuan dan warna signatur Rizman Ruzaini iaitu hitam untuk menitipkan elemen ketenangan, beridentiti yang disesuaikan untuk gaya Lebaran yang anggun dan mempesona.

Penggunaan material seperti Krep and Sifon memberikan potongan kurung ini terletak sempurna dan tampak mahal.
Ia juga sebenarnya mengembalikan momen gemilang ketika koleksi tersebut diperagakan di Dubai Fashion Week bagi Musim Bunga/Panas 2024 pada tahun lalu.
Selain koleksi Couture, Rizman Ruzaini turut hadir dengan Raya 2024 Capsule Collection. Berbeza dengan Couture Collection, helaian untuk koleksi Capsule ini lebih bersifat ‘effortless,’ ringkas dengan mainan renda, krep bersama potongan anggun dan malar segar yang sememangnya menjadi DNA Rizman Ruzaini.
Rekaan ini dicipta bersesuaian untuk wanita moden hari ini yang mahukan gaya tradisi dengan sentuhan kontemporari yang boleh digayakan lebih dari sekadar ‘baju raya’.

Justeru, duo pereka fesyen popular ini telah melantik selebriti terkenal, Azira Shafinaz bagi koleksi tersebut.
Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Rizman Ruzaini iaitu Rizman Nordin, pemilihan Azira itu dibuat atas beberapa faktor yang dirasakan bertepatan dengan imej jenama Rizman Ruzaini itu sendiri.
“Azira seorang figura yang punya kecantikan tersendiri, berbakat besar sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara.
“Selain itu, dia juga sukses dan lambang wanita moden bercitarasa tinggi dengan jumlah pengikut lebih 1.2 juta di Instagram yang pastinya menjadikannya inspirasi ramai wanita di luar sana,” katanya ketika ditemui pada acara Rizman Ruzaini Raya 2024 Couture Collection di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.
Sementara itu, bagi Azira sendiri, dia teruja dan berbesar hati atas pelantikannya sebagai muse Rizman Ruzaini pada tahun ini.
“Saya tak pernah buat kempen raya bersama Rizman Ruzaini. Sebelum ini kita ada buat untuk koleksi Bridal Rizman Ruzaini saja.
“Tapi kali ini saya sangat terharu dan bersyukur terpilih sebagai muse. Sebenarnya saya dah lama kenal Rizman Ruzaini sejak 2013.
“Jadi dar situlah saya bina hubungan baik dengan Rizman Ruzaini sampailah ke hari ini. Alhamdulillah, saya sebenarnya gembira dapat jadi muse Rizman Ruzaini pada tahun ini,” katanya kepada URTV.
Jenama Rizman Ruzaini bukan asing untuk Azira kerana setiap acara hiburan dan persembahan pentas bersama De Fam, dia akan memilih untuk menggayakan rekaan pereka tersebut.
“Dan selain itu, saya memang suka koleksi mereka bukan sahaja koleksi raya tapi koleksi Ready To Wear dan Couture.
“Saya rasa sangat sesuai dengan imej fesyen yang selalu saya gayakan sebab itu saya bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka.
“Untuk koleksi raya luxe ni dia bukan sahaja tentang Seri Gumum saja tapi ada juga yang rekaan ringkas. Istimewanya kolekasi pada tahun ini, macam anda tahu kalau lihat ‘signature’ batu-batuan, okay itu memang Rizman Ruzaini.
“Kali ini ada kelainan di mana ada ‘signature’ reben yang mana sebelum ini Rizman Ruzaini tak pernah buat macam tu. Selain itu, ia lebih kepada perincian manik batu-batuan dan ‘bulu-bulu’…memang ‘signature’ RIzman Ruzaini,” kongsinya.
Semua koleksi ini boleh dilihat bermula 21 hingga 24 Febuari ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Chairman Suite, Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur.
Hubungi talian +601 25156317 untuk sebarang janji temu atau pertanyaan lanjut.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

