Lebih 100,000 pengunjung nikmati produk pelancongan percuma di Melaka

Dari Penulis

SEBANYAK 109,742 pengunjung direkodkan berkunjung ke 11 tempat pelancongan yang dibuka secara percuma di Melaka bersempena dengan cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb lepas.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM2.6 juta kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif julung kali itu yang turut diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita lihat tempat pelancongan yang mendapat sambutan utama antaranya Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Melaka Wonderland Theme Park & Resort dan yang paling menakjubkan ialah kedatangan pengunjung ke Muzium Penjara melebihi 10,000 orang.

“Inisiatif ini bukan sahaja menarik minat pengunjung dalam kalangan rakyat Melaka tetapi juga dari luar negeri seperti Terengganu dan Pahang kerana menawarkan tiket masuk percuma ke destinasi pelancongan terlibat sekali gus memberi penjimatan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di Dataran Pengkalan Rama Pantai hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar Sempena TMM2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Baca juga: 100 sukarelawan YBR gotong-royong bantu bersih Zoo Melaka

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata inisiatif itu dilihat turut memberi manfaat besar kepada sektor makanan dan minuman serta perhotelan di negeri itu dengan anggaran perbelanjaan pelancong lebih RM6 juta pada hari berkenaan.

Ditanya sama ada inisiatif berkenaan akan diteruskan pada tahun hadapan, beliau berkata cadangan itu akan dikaji secara menyeluruh daripada pelbagai aspek kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar, selain pemberian itu bertujuan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri itu pada TMM2024.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata pasar terapung atau floating market yang dibangunkan di Sungai Melaka fasa dua di sini dijangka mula beroperasi pada April nanti.

“Pengoperasian pasar terapung berkenaan akan melibatkan sebanyak 10 bot dan 200 khemah yang menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan pelancongan popular Melaka,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 1,500 kaki pancing dari dalam dan luar Melaka menyertai pertandingan memancing berkenaan, manakala 50 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memasak ikan air tawar.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This