La Luna ada unsur ‘soft porn’ & liberal?, Shaheizy Sam anggap pandangan manusia berbeza-beza – “Saya tanya pendapat ustaz di Makkah, mereka kata tiada unsur negatif”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

BIARPUN filem lakonannya, La Luna mengundang pedebatan orang ramai sehingga teruk dikecam, aktor Shaheizy Sam tetap positif dan menganggap setiap individu berhak untuk menyatakan pandangan peribadi.

Jelas Sam, ada sebab mengapa dia menerima naskhah arahan M Raihan Halim walaupun ramai melabelkan filem tersebut wujud unsur liberal dan adegan ‘soft porn’.

“Setiap pandangan manusia berbeza-beza, ustaz dan pendakwah juga ada pandangan mereka. Jadi, pandangan siapa yang kita nak ambil dan guna pakai? 

“Kalau bercakap tentang niat buat sesuatu perkara, hanya Allah yang tahu niat tersebut. Berbalik kepada seseorang individu itu bagaimana dia kaitkan dengan kehidupan sendiri atau orang lain atau dengan agama. 

“Saya pun tak nak bagi komen dan pendirian kenapa terima karya ini. Tapi apa-apa pun, saya terima pandangan semua orang,” katanya kepada URTV.

Sementara itu, Sam memaklumkan hanya mengetahui tentang kekecohan filem tersebut ketika menunaikan ibadah umrah, baru-baru ini.

Jelas suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu lagi, ketika di Tanah Suci, dia ada bertanyakan pandangan daripada beberapa orang ustaz yang sudah menonton filem tersebut.

“Saya ada berbual dengan ustaz-ustaz di Makkah dan memberitahu ada seorang ustaz mengkritik filem tersebut. 

“Tetapi ustaz yang bersama saya di Makkah memberitahu filem tersebut tidak ada unsur negatif seperti yang dicanangkan.

“Terpulang pada hati nak hukum filem itu bagaimana. Tapi ramai yang datang pada saya cakap filem itu seronok. Saya beragama Islam dan saya bukan liberal,” ujarnya.

Sebagai seorang pelakon, Sam juga akui ada rasa malu untuk melakonkan atau menonton babak yang keterlaluan dan dipertontonkan kepada umum.

Pada masa sama, Sam tidak gusar untuk membintangi filem seperti La Luna kerana kewujudan Lembaga Penapis FIlem (LPF) sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penggiat seni.

“Terus terang, perkara sebegitu saya sendiri berasa segan. Tetapi macam saya sebagai seorang pelakon dan beragama Islam, saya ada garis panduan yang kena ikut. 

“Kadangkala kajian yang saya buat terhad sebagai pelakon sahaja. Saya pun bukan orang yang cerdik pandai dalam agama.

“Jadi saya punya kajian tentang sesuatu filem adalah sebagai pelakon, tetapi ada satu lapisan lagi yang saya rasa selamat bila ada LPF. 

“Oleh itu, saya tak rasa LPF akan lepaskan filem yang tidak elok ditonton oleh peminat tanah air,” jelasnya. 

Dalam perkembangan lain, Sam kini membintangi drama Takdir Itu Milik Aku bersama Emma Maembong di Astro Ria.

Ungkap Sam, ini merupakan kali pertama dia berlakon drama selepas lapan tahun disebabkan kekangan masa.

“Watak saya dalam cerita ini sangat kasar dan ganas. Saya sampai pesan dekat isteri jangan bagi anak-anak tonton lakonan saya.

“Drama ini penuh dengan negatif yang pendapat saya memang tak sesuai untuk anak-anak lihat.

“Saya tak nak mereka terikut dengan kelakuan saya dalam televisyen dan menganggap ia okay untuk buat perkara yang sama,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This