KONTINJEN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati ramalan apabila berjaya mengungguli sebahagian besar acara pada kejohanan LEIOS Sports 1st IPSC Open 2024 Level II kali ini.
Dalam kejohanan yang pertama kali dianjurkan di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya itu, PDRM membuktikan kejaguhan setelah berjaya memenangi kebanyakan kategori.
PDRM berjaya menjadi johan bagi acara Production; Production Optic dan Standard Lelaki dalam kejohanan selama empat hari berakhir hari ini.
Pasukan itu terlepas tempat pertama bagi acara Open Lelaki setelah peserta dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rosmizi Abdul Khalid menewaskan pencabar lain.
Bagaimanapun, dua peserta daripada Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM iaitu Fitri Raman Sumpa dan Awangku Mohd Nabil Fikri Awang Tengah berada di tempat kedua dan ketiga.

Bagi disiplin Production, seorang lagi peserta UTK iaitu Saifuddin Sariat menduduki tempat pertama apabila memperoleh 1261.0985 mata meninggalkan peserta 21 Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rosfaizal Amirudin di tempat kedua.
Peserta daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Korea Martin Lamit pula menduduki tempat ketiga.
Disiplin Production Optic pula menyaksikan peserta VAT 69 iaitu Mohd Rokimi Basri Md Yusoff memenangi acara tersebut manakala seorang lagi peserta VAT 69, Mohd Khairul Azuan Abd Wahab mengungguli acara Standard.
Seramai 250 peserta beraksi dalam kejohanan kali pertama dianjurkan oleh LEIOS Sports itu.
Kejohanan selama empat hari berakhir hari ini itu melibatkan penyertaan daripada pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta persatuan dan kelab menembak seluruh negara.

Baca artikel lain: LEIOS Sports 1st IPSC Open 2024 Level II terima sambutan luar biasa
Sebanyak 11 kategori dipertandingkan melibatkan empat disiplin iaitu Open, Standard, Production dan Production Optic.
Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Zul Majdi Saari berkata, antara kategori baharu yang dipertandingkan adalah novis sebagai galakan kepada penembak-penembak yang baru menceburi sukan tersebut.
“Kategori novis ini diwujudkan bagi menyuntik semangat penembak-penembak baru yang menceburi bidang ini.
“Kalau tak diwujudkan kategori sebegini mungkin mereka terpaksa tunggu lebih lama untuk berjaya naik podium kerana bersaing dengan orang lama,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang bagi kategori Novis Lelaki, Mohamad Ramizie Ramli berasa teruja apabila keputusan menyertai kejohanan tersebut disifatkan amat berbaloi.
Beliau yang berkhidmat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Melaka itu memaklumkan baru berjinak-jinak menyertai pertandingan menembak praktikal sedemikian.
“Sememangnya saya gembira kerana baru menyertai pertandingan menembak praktikal.
“Sebelum ini pernah juga sertai pertandingan tapi di peringkat jabatan sahaja tapi ini pertama kali kejohanan bertaraf Konfederasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC).
“Kalau diberi peluang memang saya berminat untuk sertai lagi kejohanan seperti ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

