PERDANA Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Melbourne pada Ahad malam untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri Anthony Albanese.
Pesawat khas yang membawa Anwar yang ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jet Base Melbourne kira-kira 10.40 malam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.
Semasa lawatannya, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac.
Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digutal dan keselamatan siber.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang diadakan bersempena ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan dan kerjasama maritim.
Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Malaysia-Australia ke-2, yang berlangsung pada Isnin (4 Mac), bertujuan meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai sektor, termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.
Mesyuarat itu juga penting kerana buat pertama kalinya, ia akan diadakan secara fizikal, selepas sesi pertamanya pada 2021 diadakan secara maya berikutan pandemik COVID-19.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 pula diadakan bersempena ulang tahun ke-50 Australia menjadi rakan dialog pertama ASEAN.
BERITA BERKAITAN Anwar lakukan lawatan rasmi pertama ke Australia
Ini merupakan kali kedua Australia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN di Australia. Kali pertama sidang itu diadakan di Sydney pada 2018.
Sharinna berkata Sidang Kemuncak Khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne, sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.
Di Melbourne, Anwar akan mengadakan pertemuan meja bulat dan secara langsung dengan ketua-ketua industri, bagi menambah sinergi dalam mempercepatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan, selain menyampaikan ucaptama di Invest ASEAN-Melbourne 2024.
Anwar juga akan bertemu perdana menteri Thailand dan New Zealand, di luar sidang kemuncak khas itu, selain bertemu diaspora Malaysia.
Perdana Menteri juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang utama seperti pendidikan tinggi, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyelidikan, belia dan sukan, keselamatan siber, dan pengaturan praktikal berkaitan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta aplikasinya, untuk pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

